IMFC Raikan Keunikan Masyarakat, Budaya Serta Seni Kraf

Laporan/foto: Fauzrina Bulka/Azman Jumat (Kota Kinabalu)

SEMPORNA, 9 Dis (Malaysiaaktif) - International Muslim Friendly Carnival (IMFC) yang berlangsung selama enam hari di Semporna bukan sekadar meraikan keunikan masyarakat dan budaya melalui kaca mata Islam dan pelancongan halal, tetapi ia juga mengetengahkan seni kraf etnik yang cukup halus pembuatannya.

Rafi bersama replika lepa hasil kerja tangannya. Rafi bersama replika lepa hasil kerja tangannya.



Kehadiran pelancong tempatan dan asing pada karnival anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan Tourism Malaysia itu menyediakan pasaran untuk pelbagai hasil kraf tangan etnik Bajau seperti tikar mengkuang dan replika lepa yang diperbuat daripada kayu.

Replika lepa yang amat rumit pembuatannya merupakan antara buah tangan popular dalam kalangan pelancong yang hadir pada karnival yang julung kali diadakan di daerah tersebut merupakan ikon baharu dalam kalendar pelancongan Semporna.

Rafi tekun memahat dan mengukir replika lepa pada pameran IMFC. Rafi tekun memahat dan mengukir replika lepa pada pameran IMFC.



Menurut pempamer, Mohd Rafi Barahim, 43, kesenian, kebudayaan dan tarian merupakan satu warisan yang diwarisi oleh masyarakat Bajau daripada nenek moyang mereka.

"Pada tahun 1994, selepas menamatkan persekolahan di tingkatan 5, saya sering ke rumah datuk untuk melihat mereka membuat kerja mengukir hingga timbul minat untuk mempelajarinya.

Pisau khas diketuk pada kayu menghasilkan ukiran yang halus dan cantik. Pisau khas diketuk pada kayu menghasilkan ukiran yang halus dan cantik.



"Pada mulanya memang kelihatan agak sukar, saya perlu melihat pada contoh ukiran yang sudah siap, dan melakarnya menggunakan pensel terlebih dahulu sebelum memahatnya secara perlahan.

"Namun, saya lebih gemar mengubahsuai corak untuk dipahat, contohnya seperti ukiran kelolo yang pernah saya pelajari dahulu, selepas saya merasa bosan untuk melakukannya berulang kali maka saya mengubahnya mengikut idea sendiri.

Pisau khas diketuk pada kayu menghasilkan ukiran yang halus dan cantik. Pisau khas diketuk pada kayu menghasilkan ukiran yang halus dan cantik.



"Walau demikian, coraknya tidak begitu jauh berubah daripada corak asal, hanya sudut kedalaman saya ubah sedikit memandangkan biasanya corak ukiran ini diadaptasi daripada haiwan dan juga tumbuhan,"jelas Rafi.

Rafi akui corak yang dihasilkan oleh nenek moyangnya dahulu agak sukar untuk dilakukan dan hingga kini beliau sendiri belum mahir untuk mengenalpasti hujung dan kepala sesuatu bentuk ukiran.

Hasil ukiran produk yang dibuat oleh Rafi. Hasil ukiran produk yang dibuat oleh Rafi.



Namun begitu, mengikut kepakaran yang ada padanya, Rafi sering dijemput oleh pihak Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (PKKM) Cawangan Sabah untuk menjadi tenaga pengajar pada bengkel ukiran kraf.

Para peserta pula terbuka kepada masyarakat setempat yang berminat untuk mempelajarinya apatah lagi segala kos latihan adalah percuma dan dibiayai oleh PKKM Sabah.

Kayu tambu-tambu merupakan jenis kayu yang terbaik untuk ukiran produk hiasan bersaiz kecil. Kayu tambu-tambu merupakan jenis kayu yang terbaik untuk ukiran produk hiasan bersaiz kecil.



Kata Rafi, apa yang membimbangkan adalah kurangnya penglibatan warga muda untuk mempelajari seni kraf ini malahan jika ada yang berminat pula, ramai yang mudah merasa bosan.

"Tetapi pada yang benar-benar meminati seni ukiran ini, ramai yang sudah mengeluarkan dan menjual produk mereka sendiri kerana sememangnya seni ukir ini mempunyai permintaan yang tinggi.

Kayu tambu-tambu merupakan jenis kayu yang terbaik untuk ukiran produk hiasan bersaiz kecil. Kayu tambu-tambu merupakan jenis kayu yang terbaik untuk ukiran produk hiasan bersaiz kecil.



"Tambahan pula, tidak sukar untuk mencari bekalan kayu bagi menghasilkan produk ini kerana kayu tambu-tambu ini mudah diperoleh di tepi laut.

"Tekstur kayu ini sesuai untuk menghasilkan ukiran berukuran kecil dengan cantik dan kemas kerana corak mudah dibentuk serta tidak mudah rosak dan patah," jelasnya.

Antara hiasan rumah yang dipamerkan pada IMFC. Antara hiasan rumah yang dipamerkan pada IMFC.



Selain replika lepa dan barangan hiasan seperti congkak, penanda buku, bekas makanan ringan dan ukiran berbentuk ayat suci, Rafi juga turut menghasilkan ukiran untuk perabot besar seperti set kerusi dan meja makan yang dilakukan di bengkel berhampiran rumahnya.

Lebih manis, karya seni ukirnya yang kemas dan berkualiti tinggi ini turut mendapat perhatian daripada kerabat diraja Pahang serta Mantan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Tan Sri Datuk Dr. Rais Yatim.

Antara hiasan rumah yang dipamerkan pada IMFC. Antara hiasan rumah yang dipamerkan pada IMFC.



"Produk-produk saya ini dikenali selepas saya sering dijemput bersama-sama PKKM ke seluruh Malaysia sebagai pempamer pada program-program anjuran mereka.

"Untuk set perabot besar yang saya telah jual pernah mencecah harga RM28 ribu dengan menggunakan kayu merbau dan disiapkan dalam tempoh kira-kira dua bulan,"kongsinya.

Rafi menunjukkan ukiran yang dihasilkannya pada perahu lepa saiz sederhana. Rafi menunjukkan ukiran yang dihasilkannya pada perahu lepa saiz sederhana.



Menurut Rafi lagi, walaupun beliau dan isteri Naurana Najamawan, 35, belum dikurniakan cahayamata, namun anak saudara mereka sudah menunjukkan minat untuk mempelajari seni ukir ini.

"Ada juga antara mereka yang sudah menunjukkan kemahiran semulajadi untuk mengukir walaupun saya belum mula mengajar.

Naurana(belakang) yang sentiasa menyokong kerjaya suaminya. Naurana(belakang) yang sentiasa menyokong kerjaya suaminya.



"Mungkin mereka sering memerhati ketika saya melakukan kerja dan cuba-cuba untuk membuatnya sendiri, dan ia membuatkan saya bangga kerana kemahiran itu ada dalam diri mereka,"katanya.

Rafi turut mengakui pihak PKKM banyak membantu mempromosikan dirinya serta produk yang dihasilkan. Lebih daripada itu, dia turut membawa nama Semporna ke seluruh Malaysia dan ke luar negara seperti China, Jepun dan Korea.

Rafi dan Naurana bersama perahu lepa saiz sederhana yang dihasilkan oleh mereka. Rafi dan Naurana bersama perahu lepa saiz sederhana yang dihasilkan oleh mereka.



Rafi turut merakamkan penghargaan kepada MOTAC dan Tourism Malaysia kerana penganjuran IMFC yang banyak membantu ekonomi penduduk tempatan dari segi kraf, budaya dan pelancongan.

ER