Kerajaan Negeri Bantu Wujudkan Kompleks IKS Sabah

Laporan/foto: Marryan Razan (Kota Kinabalu)

KOTA KINABALU, 11 Dis (Malaysiaaktif) – Kerajaan Sabah akan membantu merealisasikan pengwujudan Kompleks Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Sabah di Tuaran.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal berkata, Kompleks IKS itu yang dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk pasaraya, kilang hub halal memproses pelbagai jenis produk makanan, kosmetik dan penjagaan kesihatan serta kraf cenderakenangan akan menjadi pusat ‘one stop center’.

“Apa yang lebih menarik, kompleks ini akan dikendalikan sendiri oleh usahawan tempatan, selain menjadi pusat pengumpulan produk IKS bertaraf eksport.

Ewon ketika membacakan teks ucapan Ketua Menteri pada majlis itu. Ewon ketika membacakan teks ucapan Ketua Menteri pada majlis itu.



“Produk IKS keluaran kilang ini akan dipasarkan oleh rangkaian penjaja dan peniaga kecil diperingkat domestik dan eksport ke luar negara,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan sempena Majlis Makan Malam Amal Dan Penyampaian Anugerah & Kepimpinan Gabungan Persatuan-Persatuan Penjaja Dan Peniaga Negeri Sabah (G3PNS) 2019, di sini, pada malam Ahad.

Teks ucapannya disampaikan oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Ewon Benedick.

Shafie berkata, kerajaan negeri mengalu-alukan komitmen G3PNS sebagai sebuah badan bukan kerajaan (NGO) mewujudkan Kompleks IKS itu.

Ewon (tengah) menyampaikan Anugerah Ikon Kepimpinan Cemerlang G3PNS 2019 kepada Datuk Noni Said, turut kelihatan Pengerusi Penganjur merangkap Presiden G3PNS Datuk Haji Noortaip Haji Suhaili. Ewon (tengah) menyampaikan Anugerah Ikon Kepimpinan Cemerlang G3PNS 2019 kepada Datuk Noni Said, turut kelihatan Pengerusi Penganjur merangkap Presiden G3PNS Datuk Haji Noortaip Haji Suhaili.



“Kerajaan Sabah menyambut baik dan mengalu-alukan komitmen NGO ini yang sedang dalam rangka dan usaha mewujudkan Kompleks Industri Kecil dan Sederhana Negeri Sabah di Tuaran.

“Seperti yang dibangkitkan oleh Presiden G3PNS yang juga Pengerusi Majlis Permuafakatan Usahawan Negeri Sabah (MPUNS), kompleks bangunan dua tingkat seluas 22,000 kaki persegi ini akan dibina di kawasan seluas lima ekar dan berteraskan pelancongan dan hub halal,” katanya.

Beliau turut memuji inisiatif G3PNS yang membantu berkongsi maklumat berhubung usaha-usaha menstabilkan harga barang di negeri ini, terutamanya kepada masyarakat luar bandar.

Ewon menerima cenderakenangan daripada Pengerusi Penganjur merangkap Presiden G3PNS Datuk Haji Noortaip Haji Suhaili. Ewon menerima cenderakenangan daripada Pengerusi Penganjur merangkap Presiden G3PNS Datuk Haji Noortaip Haji Suhaili.



“Di pihak kerajaan, kita sentiasa prihatin dengan keadaan ini dan sentiasa mencari kaedah dan langkah yang bersesuaian dalam memastikan rakyat tidak terbeban dengan kenaikan harga barang akibat keadaan ekonomi serantau yang kurang stabil,” katanya.

Shafie berkata, dalam usaha menjaga kepentingan dan kemajuan golongan usahawan di kalangan penjaja dan peniaga kecil, kerajaan telah menubuhkan satu agensi iaitu bahagian penjaja dan peniaga kecil di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) yang selepas itu diwujudkan Majlis Perunding Penjaja Dan Peniaga Kecil Negeri Sabah yang dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Menteri, Datuk Wilfred Madius Tangau Merangkap Menteri Perdagangan Dan Perindustrian Negeri Sabah (MTI).

“Saya berharap MTI dan KPDNHEP akan dapat memainkan peranan lebih proaktif di samping berkerjasama erat dengan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dalam mewujudkan peluang perniagaan di peringkat luar bandar,” katanya.

Katanya lagi, kerajaan sentiasa terbuka mendengar sebarang pandangan, kritikan dan teguran, dalam memastikan usaha mentransformasikan agenda keusahawanan mencapai kejayaan.

Ewon bergambar bersama para penerima anugerah keusahawanan dan kepimpinan pada majlis itu. Ewon bergambar bersama para penerima anugerah keusahawanan dan kepimpinan pada majlis itu.



“Kerajaan juga bersedia memberikan sokongan dan kerjasama dalam apa jua bentuk aktiviti yang dilaksanakan, bagi memastikan kesejahteraan, keselamatan dan keharmonian di tahap yang maksimum kepada rakyat di negeri ini,” katanya.

Shafie turut menyarankan para usahawan termasuk penjaja dan peniaga kecil di negeri supaya sentiasa merebut peluang yang disediakan kerajaan, dalam meningkatkan pendapatan seterusnya mengembangkan lagi perniagaan masing-masing

ER