McDonald's Malaysia Sumbang RM662,800 Bantu Golongan Memerlukan

Laporan/foto: Matfazly Mat Kasim (Kota Kinabalu)

SEMPORNA, 11 Dis (Malaysiaaktif) – McDonald's Malaysia menyampaikan sumbangan RM662,800 melalui pelbagai inisiatif kemasyarakatan bagi meringankan beban golongan yang memerlukan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata kerajaan menyambut baik usaha yang dilakukan oleh McDonald's dalam membantu masyarakat khususnya yang berada di luar bandar.

“Sumbangan McDonald’s Malaysia menerusi program komuniti adalah sesuatu yang wajar dipuji.

Shafie (empat dari kiri) menerima replika cek sumbangan keseluruhan dari McDonald's Malaysia yang akan disumbangkan kepada masyarakat. Shafie (empat dari kiri) menerima replika cek sumbangan keseluruhan dari McDonald's Malaysia yang akan disumbangkan kepada masyarakat.



“Kerajaan negeri amat mengalu–alukan perkembangan perniagaan McDonald’s di Sabah dan usaha mereka kearah kesejahteraan rakyat merupakan nilai tambah yang cukup bertepatan dengan aspirasi kerajaan.

“Semoga lebih banyak program–program untuk masyarakat melibatkan syarikat–syarikat korporat seperti ini dapat dilaksanakan di masa hadapan,” katanya dalam Majlis Perasmian Program Komuniti McDonald's dan Restoran McDonald's Semporna di sini, pada Selasa.

Tambah beliau, pembukaan perniagaan baharu seumpama ini juga mampu menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat seterusnya memberikan mereka sumber pendapatan.

KENANGAN...Penerima sumbangan bergambar kenangan bersama Shafie. KENANGAN...Penerima sumbangan bergambar kenangan bersama Shafie.



Sementara itu, Pengarah Urusan dan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia, Asmir Jaafar memaklumkan bahawa program itu dimulakan sejak tiga tahun lepas.

"Jumlah sumbangan yang disampaikan merangkumi tiga inisiatif masyarakat di bawah Komuniti McDonald 2019 iaitu bayaran zakat perniagaan berjumlah RM 101,000, Program Skim Latihan Dalam Industri dan Program Kembali Ke Sekolah McDonald’s.

“Bagi program 'Kembali Ke Sekolah', lebih 1,900 orang kanak-kanak dari 63 buah sekolah di seluruh Sabah menerima manfaat pada tahun ini, melibatkan sumbangan mencecah RM3juta.

Shafie menandatangani plak perasmian Restoran McDonald's Semporna. Shafie menandatangani plak perasmian Restoran McDonald's Semporna.



“Pada tahun sebelumnya pula, lebih 1,700 murid sekolah rendah menerima pek 'Kembali ke Sekolah' yang disampaikan McDonald’s Malaysia dan Persatuan Kebajikan Ronald McDonald (RMHC) Malaysia bernilai RM1.7juta." ujarnya.

Turut hadir, Pembantu Menteri Kewangan Sabah, Sarifuddin Hata; Yang diPertua Majlis Ugama Islam Sabah, Datuk Seri Panglima Dr Hasbullah Mohd Taha dan Pegawai Daerah Semporna, Benedict Asmat.

ER