Ewon Tumpu Tiga Kemudahan Utama Projek Pembangunan Kecil Bagi Kadamaian

Laporan/Foto : Marryan Razan (Kota Kinabalu)

KOTA BELUD, 13 Dis (Malaysiaaktif) – Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Ewon Benedick akan memberi tumpuan kepada tiga kemudahan utama bagi pelaksanaan projek kecil di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian tahun 2020.

Beliau berkata, kemudahan utama itu termasuk menaiktaraf jalan pelancongan komuniti, jalan kawasan perumahan kampung ke jalan konkrit, pembinaan dan menaiktaraf dewan komuniti dan jambatan-jambatan gantung.

"Tumpuan ini adalah berdasarkan keutamaan dan mengambilkira permohonan daripada komuniti Kadamaian, khususnya dari Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).

“Kita dapati kemudahan jalan konkrit, dewan dan jambatan gantung adalah kategori yang paling banyak dipohon. Justeru, ini akan menjadi fokus pelaksanaan kepada projek-projek pembangunan kecil bagi DUN Kadamaian pada tahun hadapan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Dewan Komuniti Kampung (Kg) Lasau Minunsud, Pertandingan Badminton, Pelancaran Kelab Kraftangan dan Seni Budaya Kg Lasou Minunsud, di sini, pada Khamis.

Ewon ketika menyampikan ucapan. Ewon ketika menyampikan ucapan.



Dewan baharu itu dibiayai oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Persekutuan di bawah Program Ameniti Sosial. Selain Dewan Komuniti Kg Lasau Minunsud, satu lagi dewan baharu yang dibina di bawah program tersebut iaitu Dewan Komuniti Kg Sogoh.

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian berkata, KPLB Persekutuan juga telah menyalurkan peruntukan di bawah program Jalan Perhubungan Desa bagi menaiktaraf ke jalan konkrit di Kg Gaur, Lahanas, Kg Pinolobuh dan Kg Koung Malaan.

"Manakala projek-projek yang dilaksanakan menggunakan peruntukan saya selaku Adun dan Menteri ialah membina beberapa jalan konkrit, dewan terbuka, jambatan gantung, gelanggang sukan dan banyak lagi kemudahan kecil lain.

“Saya akan meneruskan usaha ini termasuk mendapatkan sumber-sumber daripada kementerian, agensi dan jabatan lain bagi meningkatkan kemudahan dan menyelesaikan sebahagian daripada keperluan komuniti di Kadamaian,” katanya.

Katanya lagi, bagi pembinaan dewan komuniti terbuka, beliau akan mensasarkan agar kesemua kampung akan mendapat dewan seumpama ini bermula tahun 2021, “kita sudah boleh memfokuskan inisiatif untuk menaiktaraf dewan terbuka ini kepada dewan tertutup”.

Ewon ketika merasmikan Dewan Kampung Lasou Minunsud. Ewon ketika merasmikan Dewan Kampung Lasou Minunsud.



Menurut Ewon, pelaksanaan projek-projek pembangunan berskala besar seperti Jalan Luar Bandar, Bekalan Elektrik Luar Bandar dan Bekalan Air Luar Bandar memerlukan proses yang lebih panjang kerana melibatkan pelbagai kementerian dan agensi kementerian lain seperti Unit Perancang Ekonomi Negeri, Jabatan Kerja Raya, Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, Kementerian Pembangunan Luar Bandar Persekutuan dan Kementerian Kewangan Persekutuan.

"Itulah sebabnya saya menginisiatifkan Pelan Pembangunan Kadamaian, 2020-2035 iaitu satu dokumen perancangan pembangunan jangka panjang bagi kawasan DUN Kadamaian melalui penyiasatan oleh Institut Kajian Pembangunan (IDS) Sabah, Pejabat UPPM Kadamaian dan Pejabat Daerah Kota Belud di seluruh kampung dalam DUN Kadamaian.

"Saya akan membentangkan laporan ini kepada Jemaah Menteri Sabah dan ianya akan menjadi satu keputusan kabinet. Selepas itu, ia akan menjadi rujukan kepada pelaksanaan pembangunan oleh pelbagai kementerian, agensi dan jabatan kerajaan selepas diputuskan oleh Kabinet. Saya percaya urustadbir yang lebih tersusun ini akan dapat membantu menguruskan pembangunan di Kadamaian dengan lebih baik," katanya.

Tambah Ewon, sebanyak 747 buah rumah baharu melibatkan 25 buah kg di DUN Kadamaian telah mendapatkan bekalan elektrik di bawah Program Bekalan Elektrik Luar Bandar yang dilaksanakan tahun ini.

"Kita masih mempunyai banyak cabaran dan keperluan pembangunan. Sebab itulah saya akan terus berusaha selaku Wakil Rakyat di Kadamaian dan sebagai Menteri dengan kerjasama daripada Pejabat Daerah Kota Belud, Pejabat UPPM Kadamaian dan agensi kerajaan lain untuk mendapatkan kemudahan yang lebih baik.

Ewon menerima cenderahati daripada Pengerusi MPKK Kg.Lasou Minunsud, Zuidie Suali. Ewon menerima cenderahati daripada Pengerusi MPKK Kg.Lasou Minunsud, Zuidie Suali.



“Ini termasuk, menjemput Ketua Menteri Sabah mengadakan lawatan kerja ke DUN Kadamaian pada 16 Januari 2020 untuk melancarkan Pelan Pembangunan Kadamaian serta pelancaran Fasa 2 Pembangunan Pekan Taginambur sebagai pusat aktiviti ekonomi kita," katanya.

Pada majlis itu Ewon turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM3,000 untuk Kelab Kraftangan dan Seni Budaya dan membiayai penganjuran pertandingan badminton.

Selepas itu Ewon turut meluangkan masa melawat tapak pembinaan dewan serbaguna di Kampung Wani Kota Belud.

ER