Cuti Tambahan Sehari Sempana Krismas Bukti Keprihatinan Kerajaan Negeri: Ewon

Laporan/foto : Marryan Razan (Kota Kinabalu)

KOTA BELUD, 13 Dis (Malaysiaaktif) – Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Ewon Benedick berkata, cuti tambahan sehari sempena perayaan Hari Natal bermula tahun ini bukti keprihatinan kerajaan negeri terhadap kepentingan seluruh rakyat Sabah tanpa mengira bangsa dan agama.

Sambil menyambut baik pengumuman Ketua Menteri itu, Ewon berkata, ia adalah pendekatan terbaik kerajaan menjaga kepentingan semua rakyat Sabah.

“Pengumuman tersebut adalah hasil keputusan mesyuarat Jemaah Menteri Sabah pagi Rabu di mana semua menteri yang hadir telah memberi pandangan ke atas Kertas Kabinet mengenai cadangan yang dibentangkan oleh Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Madius Tangau.

“Saya turut mengambil bahagian dalam perbincangan dan menyatakan pandangan menyokong cadangan tersebut.

"Mewakili masyarakat penganut Kristian khasnya dan rakyat Sabah umumnya, saya ucapkan terima kasih kepada Ketua Menteri atas keterbukaan dan keprihatinan beliau, seterusnya bersetuju ke atas cadangan ini selepas mengambil kira semua pandangan yang telah dikemukakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Dewan Komuniti Kampung Lasau Minunsud, Pertandingan Badminton, Pelancaran Kelab Kraftangan dan Seni Budaya Kampung Lasou Minunsud, di sini, pada Khamis.

Ewon ketika ditemui pemberita, selepas majlis itu. Ewon ketika ditemui pemberita, selepas majlis itu.



Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian berkata, tambahan cuti Krismas itu bukan sahaja membolehkan masyarakat penganut Kristian menunaikan ibadah pada Christmas Eve, tetapi dapat mengeratkan ikatan kekeluargaan apabila semua ahli keluarga meluangkan masa bersama di gereja, kampung atau rumah.

“Begitu juga dengan rakan-rakan daripada agama lain, yang mana turut sama meluangkan lebih masa bersama ahli-ahli keluarga semasa cuti ini.

"Apabila ikatan kekeluargaan lebih erat, maka sudah tentu ianya memberi kesan positif kepada produktiviti semasa waktu bekerja,” katanya.

Katanya lagi, bagi penjawat awam, swasta dan mereka yang bekerja di bandar atau daerah lain, kini mereka boleh merancang dengan lebih baik perjalanan balik kampung halaman dan menggunakan sebaiknya peruntukan tambahan cuti Krismas untuk meluangkan masa bersama keluarga, khususnya menunaikan ibadah agama.

Beliau berkata pada tahun 1960-an Sabah menikmati dua hari cuti Krismas tetapi dikurangkan kepada satu hari pada tahun 1970-an.

Pada malam Rabu, Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengumumkan cuti umum tambahan satu hari bagi negeri Sabah pada 24 Disember bermula tahun ini.

Penambahan cuti selama sehari (pada 24 Disember) itu diharap dapat memberikan khabar gembira kepada semua rakyat terutamanya penganut Kristian yang menyambut perayaan berkenaan dengan lebih harmoni.