Pandangan Semua Pihak Diambil Kira - Ewon

Laporan/foto: Marryan Razan (Kota Kinabalu)

KOTA KINABALU, 23 Dis (Malaysiaaktif) – Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Ewon Benedick optimis kerajaan negeri akan mengambil kira sentimen dan pandangan semua pihak berhubung cadangan mengeluarkan Pas Sementara Sabah (PSS) kepada warga asing yang memegang dokumen IMM13, Kad Burung-Burung dan Sijil Banci di negeri ini.

Naib Presiden UPKO itu berkata ini kerana masalah pendatang asing adalah masalah nombor satu di Sabah dan perlu penyelesaian secara tuntas.

“Pandangan peribadi saya selaku Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian dan Naib Presiden UPKO ialah masalah pendatang asing adalah masalah nombor satu di Sabah, oleh itu kita (kerajaan) perlu membuat ketetapan untuk menyelesaikannya.

“Penyelesaiannya bukan seperti yang dilaksanakan selama ini, tetapi penyelesaian baharu yang berorentasikan rakyat Sabah kerana masalah ini menjejaskan keseluruhan negeri Sabah termasuk keselamatan dan kedaulatan negeri dan rakyat Sabah berhak mengemukakan input-input kepada kerajaan,” katanya ketika ditemui sempena Jamuan Krismas di Dewan Kementerian Pembangunan Luar Sabah (KPLB) Sabah, di sini baru-baru ini.

Sehubungan itu Ewon berkata, kerajaan negeri memutuskan supaya satu kertas Kabinet dibentangkan pada tahun hadapan bagi membuat keputusan berhubung cadangan pengeluaran PSS kepada warga asing.

“Selaku kerajan yang prihatin terhadap kepentingan rakyat, pandangan semua pihak perlu diambil kira dan rumuskan dalam kertas kabinet sebelum membuat keputusan muktamad termasuk syor dalam Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Pendatang Tanpa Izin (PTI) di Sabah,” katanya lagi.

Menurut Ewon, secara peribadi beliau mengakui memang ada keperluan untuk menggantikan kad-kad sedia ada yang terbukti susah untuk mengawal atau memantau pergerakan keluar masuk pemagang dokumen-dokumen seperti IMM13, Kad Burung-Burung dan Siji Banci kerana ia hanya sekeping kertas dan tidak dapat dibaca melalui sistem komputer.

“Sekiranya kerajaan memutuskan dokumen baharu, semua perincian termasuk syarat, skop dan tempoh pelaksanaannya akan dimaklumkan kepada rakyat dan rakyat akan memberi maklum balas sebelum kerajaan membuat keputusan akhir, sebab kita tidak boleh mengabaikan pandangan rakyat dalam proses membuat keputusan.

“Kita juga mengambil inisiatif mengumpul pandangan dan maklumbalas daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk rakan strategik seperti badan bukan kerajaan (NGO) dan pimpinan peringkat akar umbi untuk dikemukakan dalam mesyuarat kabinet apabila tiba masanya membincangkan perkara itu,” tambahnya.

-SH