Belia, Beliawanis Nabawan Terima Penghargaan

Laporan/foto: Asmidar Zainol (Nabawan)

NABAWAN, 23 Dis (Malaysiaaktif) – Seramai lima belia dan beliawanis dari daerah ini diberi penghargaan pada Program Dialog Belanjawan bersempena Lawatan Rasmi Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, di sini baru-baru ini.

Menurut Pengerusi Pengajur program Awang Azuan Pangiran Hamzah, penghargaan tersebut adalah bagi meraikan mereka yang cemerlang dalam bidang masing-masing yang secara tidak langsung mengharumkan nama negara sama ada pada peringkat negeri mahupun dunia.

"Buat julung kalinya kejayaan atlet-atlet kelahiran daerah ini diraikan bagi menghargai sumbangan dan jasa mereka yang mengukir nama dalam bidang masing-masing dan berharap akan ada lebih ramai anak muda berbakat dapat dilahirkan dari daerah ini dan membuktikan bahawa daerah pedalaman juga mampu bersaing dan menyumbang kepada negara.

"Oleh yang demikian, kita memohon agar pihak kerajaan dapat memberi tumpuan membangunkan kemahiran dan mengasah bakat anak-anak muda di daerah ini supaya dapat bersaing dengan belia dan beliawanis di bandar-bandar besar," ujarnya kepada pemberita.

Syed Saddiq (kiri) memberi penerangan dalam Dialog Belanjawan sempena lawatan rasminya, di sini baru-baru ini. Syed Saddiq (kiri) memberi penerangan dalam Dialog Belanjawan sempena lawatan rasminya, di sini baru-baru ini.



Sementara itu, pemenang tempat keempat kategori bina badan lelaki 75kg di 11th World Body Building and Physique Sports Championships, Zmarul Al Adam Pulutan Abdullah, 28, berkata dia berbesar hati atas penghargaan yang diberikan kepadanya.

“Apabila dimaklumkan Syed Saddiq akan menyampaikan penghargaan tersebut saya amat berbesar hati dan sangat teruja kerana diraikan oleh masyarakat di tanah kelahiran saya sendiri dan terasa pengorbanan selama ini amat berbaloi dan pastinya saya juga rasa terharu kerana pengiktirafan ini dapat disaksi dan dikongsi bersama ibu-bapa dan juga keluarga saya.

”Saya ingin berkongsi kejayaan ini bersama isteri Zmazanariah Hanum Madin, 27 dan anak Raihanna May, 7, serta jurulatih Othman Yahya dan Pengelola Bina Badan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Supt Gazali Yunos yang banyak membantu dan menyokong kejayaan saya,” kongsinya.

Selain meraih tempat keempat pada kejohanan dunia, Zmarul juga merupakan pemegang gelaran Mr Malaysia tiga kali berturut-turut (2017, 2018, 2019); tempat kedua di Asian Bodybuilding and Physique Sports Championship 2019; tempat ketiga di 16th South East Asian Bodybuilding and Physique Sport Championship 2019 dan pernah merangkul emas dalam Sukan Polis dan Bomba Dunia pada tahun 2017.

Syed Saddiq (empat dari kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada Ainie (tiga dari kiri). Syed Saddiq (empat dari kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada Ainie (tiga dari kiri).



Sementara itu atlet berbasikal Ainie Markus, berkata penghargaan tersebut memberi pembakar semangat kepadanya untuk terus mengharumkan nama Nabawan ke persada yang lebih tinggi.

“Walaupun lokasi latihan agak terhad, ia tidak mematahkan semangat saya dan juga rakan-rakan lain untuk terus memberi saingan dalam setiap pertandingan yang kami sertai.

“Bagi pihak rakan-rakan, kami berharap pihak kementerian dapat menyediakan lokasi latihan yang sesuai dan selamat di sini bagi memudahkan kami untuk berlatih,” katanya ketika ditemui.

-SH