10 Perokok Dikompaun Setakat 4 Januari

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus (Labuan)/Jabatan Kesihatan Labuan

LABUAN, 6 Jan (Malaysiaaktif) - 10 notis kesalahan telah dikeluarkan kepada golongan perokok di tempat makan dengan nilai kompaun RM250 bagi setiap notis.

Menurut Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan Dr. Ismuni Bohari, sejumlah 144 premis tempat makan diperiksa menerusi penguatkuasaan larangan merokok di tempat makan pada 1 hingga 4 Januari 2020.

"Dengan sejumlah 10 notis kesalahan telah dikeluarkan kepada golongan perokok di tempat makan dengan nilai kompaun RM250 setiap notis dikeluarkan di bawah Peraturan 11(1)(d) Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 pindaan 2018.

"Tiada notis kesalahan dikeluarkan terhadap orang belum dewasa dan menghisap rokok elektronik dan vape serta shisha, dan begitu juga dengan tuan punya premis tidak ada notis dikeluarkan bagi kesalahan gagal mempamerkan tanda larangan merokok dan kesalahan kerana menyediakan kemudahan merokok," katanya dalam satu kenyataan media semalam.

Penguatkuasa Jabatan Kesihatan Labuan mengeluarkan notis kepada premis makanan yang gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan. Penguatkuasa Jabatan Kesihatan Labuan mengeluarkan notis kepada premis makanan yang gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan.



Katanya, sepanjang tahun 2019 sebanyak 567 notis kesalahan dikeluarkan di lain-lain premis larangan merokok (bukan tempat makan) iaitu 507 kesalahan merokok di kawasan larangan merokok, 56 orang belum dewasa memiliki hasil tembakau dan empat kesalahan menjual hasil tembakau kepada orang belum dewasa dengan nilai kompaun sebanyak RM131,100.00.

Selain itu katanya, pada 4 Sabtu lalu, Jabatan Kesihatan Labuan turut menjalankan Operasi Penguatkuasaan yang melibatkan perlaksanaan peraturan larangan merokok di premis makanan dan pemeriksaan kebersihan dan keselamatan makanan di bawah Akta makanan 1983 .

"Operasi bersepadu ini melibatkan seramai 38 Pegawai Penguatkuasa daripada Jabatan Kesihatan Labuan dan sebanyak 46 buah premis makanan diperiksa dan empat notis kesalahan dikeluarkan.

"Empat kompoun dikeluarkan, 16 teguran dan amaran dikeluarkan di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau manakala satu notis kompaun dikeluarkan bagi kesalahan Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan dan tiga premis ditutup kerana premis tidak bersih," katanya lagi.

Pihak Jabatan Kesihatan Labuan memohon kerjasama semua pihak agar mematuhi larangan merokok ini bagi memastikan kesihatan masyarakat terjamin.

"Bagi golongan perokok yang berhasrat untuk berhenti merokok, mereka dialu-alukan untuk mendapatkan khidmat nasihat di semua perkhidmatan berhenti merokok mQuit yang telah disediakan di semua klinik kesihatan dan hospital kerajaan di seluruh negara," tambahnya.

-SH