MITI Nyatakan Simpati kepada Australia atas Kejadian Kebakaran Hutan

PUTRAJAYA, 6 Jan (Malaysiaaktif) - Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Darell Leiking hari ini menyatakan simpatinya kepada Australia atas kejadian kebakaran hutan yang dahsyat melanda bahagian tenggara negara itu.

Darell berkata Malaysia mengakui perubahan iklim global telah membawa kesan yang menyebabkan peningkatan frekuensi, magnitud dan skop bencana alam seperti kebakaran hutan, gempa bumi, tsunami dan letusan gunung berapi.

"Setiap negara kini terdedah kepada ancaman ini dan kita perlu bersedia untuk menguruskan keadaan tersebut secara individu sebagai sebuah negara dan secara keseluruhannya, sebagai sebuah rantau.

“Bencana alam ini memberi cabaran yang besar kepada rantaian bekalan global kita, menjejaskan kesihatan dan pergerakan rakyat serta mengancam nyawa haiwan dan spesies yang terancam," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebagai tuan rumah kepada APEC 2020, Darell berkata Malaysia menyokong Australia dalam usahanya untuk memerangi kebakaran hutan dan rakyat Malaysia berdoa supaya keadaan akan kembali seperti biasa.

"Kami turut menggesa semua negara-negara anggota APEC untuk sama-sama menyokong usaha mengurangkan, memberi respons dan pulih daripada bencana alam di seluruh rantau ini," katanya.

-- BERNAMA