Wanita Digalak Bersenam untuk Kekal Sihat

Laporan/foto: Salleh Immun/Annie Jong (Sarawak)

SRI AMAN 10 Jan (Malaysiaaktif) - Golongan wanita rumah panjang digalakkan untuk melakukan aktiviti senaman bagi memastikan mereka kekal sihat sepanjang masa.

Program Aktiviti Senaman bersama ahli wanita Biro Wanita Rumah Panjang Entulang Jalai Sri Aman adalah satu contoh terbaik bagi memastikan golongan wanita terlibat secara langsung untuk mengekalkan kesihatan mereka melalui senaman.

Annie Jong salah seorang peserta dalam program ini berkata bahawa senaman boleh dilakukan bila-bila masa tertakluk kepada kelapangan seseorang dan boleh dilakukan secara berkumpulan bagi mendatangkan impak yang lebih menyeronokkan.

"Kini wanita ramai terdedah dengan pelbagai penyakit akibat melakukan pelbagai tugasan harian sama ada di rumah, kebun dan sebagainya, pelbagai tugasan yang dilakukan ini menyebabkan wanita lupa akan tahap kesihatan mereka dan mudah mendapat penyakit kerana terlalu fokus dengan tangungjawab mereka.

Senaman yang dilakukan bersama jurutunjuk senaman. Senaman yang dilakukan bersama jurutunjuk senaman.



"Justeru, saya mengambil inisiatif dengan mengadakan aktiviti senaman bersama wanita di rumah panjang supaya mereka sedar akan senaman yang dilakukan ini dapat mendatangkan impak positif terhadap kesihatan mereka kelak," katanya ketika ditemui, di sini.

Program ini mendapat maklumbalas baik dari para wanita rumah panjang dan kerjasama Pejabat Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Bahagian Sri Aman.

"Sokongan dan kerjasama ini amatlah diharapkan dan akan diteruskan pada bila-bila masa bagi memastikan objektif perlaksanaan program senaman bersama wanita di rumah panjang terus dilaksanakan," tambahnya.

Program ini disertai seramai lebih 50 orang wanita Biro Wanita Rumah Panjang Entulai Jalai Sri Aman, Kelab Kecergasan dari Sri Aman dan Jurutunjuk Senaman dari KBS.

-SH