25 Bayi Terima Bantuan Susu Percuma

Laporan/ foto: Mohd Firdauf/ Mohd Shahrossalleh (Jerantut)

JERANTUT, 11 Jan (Malaysiaaktif) – Kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Jerantut bersama sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Lions Club Jerantut Jaya dan sukarelawan kebajikan telah berjaya mendapatkan bekalan susu untuk 25 orang bayi daripada 17 keluarga miskin secara percuma, semalam.




Fazillah dan anak-anak menerima susu percuma. Fazillah dan anak-anak menerima susu percuma.


Pemangku Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Jerantut, Annuarull Abdul Rahim berkata, penerima susu percuma adalah terdiri daripada keluarga Asnaf, golongan B40 dan peserta program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) adalah klien Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Jerantut.


“Menerusi inisiatif ini, bekalan susu telah diagihkan kepada keluarga yang memerlukan bagi meringankan beban keluarga dalam memberikan nutrisi tambahan kepada perkembangan bayi.


"Selain daripada bantuan yang diberikan oleh JKM setiap bulan, kerjasama daripada NGO sangat dialu-alukan bagi membantu meringankan beban mereka yang kurang berkemampuan,” katanya.


Sementara itu, seorang penerima bantuan susu percuma Siti Nor Aini Mohamad, 30 berkata, bantuan ini sangat mencukupi bagi menampung perbelanjaan bulanan keperluan bayinya yang semakin membesar memandangkan beliau hanya bekerja sebagai pekebun kecil.


“Alhamdulillah, saya bersyukur kerana terpilih sebagai penerima bantuan ini, lebih daripada cukup dan berbaloi” katanya selepas program agihan susu secara percuma.


-KN