Baucar Riang Ria Manfaatkan 20 Ribu Murid Wilayah Persekutuan

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Jeffrey Nian (Labuan)

LABUAN, 12 Jan (Malaysiaaktif) - Program Baucar Riang Ria Kembali ke Sekolah anjuran Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) memberi manfaat kepada seramai 20,000 orang murid-murid di seluruh Wilayah Persekutuan pada tahun ini.

Menurut Pengerusi Perbadanan Labuan Datuk Seri Amir Hussien, program itu membantu murid-murid Sekolah Rendah Kebangsaan, Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil serta Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

"Inisiatif ini bertujuan meringankan beban perbelanjaan murid-murid sekolah rendah daripada keluarga B40 di Wilayah Persekutuan untuk pembukaan sesi persekolahan pada awal tahun.

Amir (dua dari kanan) menyampaikan baucar kepada salah seorang penerima. Amir (dua dari kanan) menyampaikan baucar kepada salah seorang penerima.



"Bantuan ini sedikit sebanyak dapat membantu meringankan perbelanjaan ibu bapa untuk memulakan sesi persekolahan anak-anak mereka dan bagi memastikan pelajar terus bersemangat untuk hadir ke sekolah sekali gus pelajar dapat meningkatkan lagi prestasi mereka," katanya semasa berucap pada Majlis Penyampaian Baucar Riang Ria Kembali ke Sekolah kepada 47 murid terpilih, di sini semalam.

Amir turut merakamkan penghargaan kepada Yayasan Perbadanan Labuan (YPL) atas bantuan yang diberikan kepada murid-murid di Labuan.

"Setinggi-tinggi penghargaan Perbadanan Labuan (PL) kepada YWP yang menaja sumbangan baucar kepada 1,516 pelajar sekolah rendah di Wilayah Persekutuan Labuan dengan pecahan 150 baucar kepada Parlimen Labuan, 50 kepada anak kakitangan PL dan 1,316 baucar kepada 17 sekolah rendah yang diuruskan oleh Jabatan Pendidikan Labuan," katanya lagi.

Para penerima baucar bergambar kenangan bersama-sama Amir dan tetamu lain. Para penerima baucar bergambar kenangan bersama-sama Amir dan tetamu lain.



Tambahnya, YWP merupakan syarikat amanah yang ditubuhkan pada tahun 1986 bertujuan membantu menaik taraf hidup golongan yang berpendapatan rendah dan memerlukan di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

"Perkhidmatan dan gerakerja YWP adalah tertumpu kepada lima kluster utama iaitu Pendidikan, Ekonomi, Sosial, Agama dan Teknologi (P.E.S.A.T).

"Program ini adalah sebahagian daripada peruntukan bawah tanggungjawab sosial korporat (CSR) Yayasan Wilayah Persekutuan berjumlah RM2.5 juta yang mensasarkan penerima sebanyak 20,000 orang murid yang akan menerima baucer tersebut," tambahnya.

Beliau turut berharap bantuan yang diberikan dapat dimanfaatkan oleh semua ibu bapa dengan sebaiknya untuk keselesaan persekolahan anak-anak.

-SH