PL Anjur Anugerah Rakan Pelancongan Sempena VM2020

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Jeffrey Nian (Labuan)

LABUAN, 13 Jan (Malaysiaaktif) – Perbadanan Labuan (PL) bakal menganjurkan Anugerah Rakan Pelancongan sempena Tahun Melawat Malaysia 2020 (VM2020).

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan Dr. Fary Akmal Osman, anugerah yang bakal diumumkan oleh Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad, itu menyediakan lima kategori iaitu kategori hotel, restoran, media, jabatan kerajaan dan individu.

“Peserta akan dinilai berdasarkan kriteria seperti aktif mempromosi Labuan, menyediakan pelbagai makanan menarik kepada para pelancong, memberi sokongan dan aktif mengadakan program-program pelancongan serta mempunyai produk-produk berkualiti sebagai tarikan pelancong ke Labuan.

“Penyertaan akan mula dibuka selepas pengumuman dibuat oleh Menteri Wilayah Persekutuan dan dijangka ditutup selepas sambutan Hari Malaysia tahun ini,” katanya yang ditemui sempena Program Cruise Trip, di sini semalam.

Dr. Fary (tengah) bersama Pengerusi MPKK bergambar kenangan berlatar belakangkan Pulau Rusukan. Dr. Fary (tengah) bersama Pengerusi MPKK bergambar kenangan berlatar belakangkan Pulau Rusukan.



Selain itu, PL juga katanya bakal mengadakan pelbagai acara dalam masa terdekat bagi menarik kedatangan pelancong.

“Kita akan adakan Pertandingan Kampung Cantik dan peruntukan awal telah disalurkan kepada ketua-ketua kampung untuk memulakan kerja-kerja mencantikkan kampung di samping terdapat beberapa kampung yang sudah mula melaksanakan persiapan seperti kampung Patau-Patau 1 dan kita harap kampung lain terlibat aktif dalam program ini.

“Pada bulan Mac nanti, kita bakal menganjurkan Festival Layang-Layang Antarabangsa Siri 2 dan pada masa sama menerima kunjungan seramai 20 duta-duta besar dari Kuala Lumpur,” jelasnya lagi.

Tambahnya, Perbadanan Labuan bersama Kementerian Luar Negeri sedang membuat persiapan rapi bagi merancang acara-acara sempena lawatan rasmi duta-duta tersebut dan berharap semua pihak dapat memberi sokongan dan kerjasama bagi menyumbang kepada kemajuan sektor pelancongan di pulau itu.

-SH