Kerajaan Tidak Pinggirkan Kebajikan OKU

Laporan/foto: M Sures Maniam (Kubang Pasu)

KUBANG PASU, 13 Jan (Malaysiaaktif) - Kerajaan sentiasa prihatin terhadap golongan Orang Kurang Upaya (OKU) dan tidak pernah meminggirkan soal kebajikan mereka dalam arus pembangunan negara.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh, menjelaskan kerajaan sentiasa memberi keutamaan kepada keperluan dan kemudahan bagi memudahkan pergerakan Orang Kurang Upaya (OKU) dalam menjalankan tugas harian mereka.

"Pada hari ini misalannya, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengadakan pelbagai program antaranya Program One-Stop Help Center atau dikenali sebagai Program KAWAN dengan Perkhidmatan Job-Coach dan kaunseling kepada OKU disediakan sebagai pelengkap kepada latihan asas.

"Kerajaan sentiasa menekankan penyertaan inklusif seluruh rakyat dalam pembangunan negara dan mengiktiraf kewujudan setiap anggota masyarakat tanpa mengira bangsa, paras rupa dan tahap keupayaan fizikal serta mental dalam agenda kemakmuran negara," katanya semasa merasmikan Program Santuni OKU, di sini hari ini.

Menurut Hanna, OKU adalah antara kelompok penting dalam masyarakat yang mempunyai potensi dan penghargaan seharusnya diberikan kepada komuniti terutamanya majikan dan tenaga pengajar yang memberi sokongan dan galakan ke arah pembangunan dan pemerkasaan golongan ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Kewangan Datuk Wira Amirudin Hamzah dan juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Pembasmian Kemiskinan dan Kebajikan Negeri Kedah Halimaton Saadiah Saad.

-SH