Anjung Kasih Beri Manfaat Golongan Kurang Berkemampuan

Laporan/foto: Fatin Nabila Muktar/Bashsyar Abdullah (Kedah)

ALOR SETAR, 13 Jan (Malaysiaaktif) - Anjung Kasih anjuran Yayasan Kebajikan Negara (YKN) merupakan rumah penginapan sementara yang disediakan kepada pesakit atau waris yang mendapat rawatan secara percuma di hospital kerajaan.

Menurut Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, yang hadir merasmikan Anjung Kasih di Hospital Sultanah Bahiyah pagi tadi Hannah Yeoh, berkata Anjung Kasih dapat memberi manfaat kepada pesakit dan waris yang kurang berkemampuan yang memerlukan penginapan sementara bagi mendapatkan rawatan atau sebagai mengiringi pesakit disebabkan jarak antara rumah dah hospital yang jauh.

"Sejak 2006, Yayasan Kebajikan Negara telah melaksanakan projek Anjung Kasih YKN dan telah memberi manfaat kepada 75,299 orang penghuni.

"Hospital Sultanah Bahiyah merupakan hospital ke-12 yang menubuhkan Anjung Kasih ini dan memulakan operasinya sejak 5 Januari lalu dengan kos peruntukan daripada Kementerian Kewangan sebanyak RM992,948," katanya.

IMG-20200113-WA0062

Antara kemudahan yang disediakan di Anjung Kasih Hospital Sultanah Bahiyah ialah bilik penginapan yang dilengkapi 81 katil di mana satu dorm lelaki dan perempuan yang mempunyai 24 katil, 11 bilik keluarga yang dilengkapi dengan bilik air sebanyak 33 katil.

"Terdapat kaunter pendaftaran, bilik kaunseling, dua buah surau lelaki dan perempuan, ruang makan, ruang rehat, ruang cucian, bilik mandi, bilik air, tandas dan tandas tambahan bagi keluarga pesakit yang tidak menginap turut disediakan," tambahnya.

Menurut seorang penghuni yang ditemui, Nurul Ashikin Ghazali, 26, dengan wujudnya Anjung Kasih di Hospital Bahiyah ini, ia memberi keselesaan kepada dirinya yang selama empat bulan menginap di sini kerana menjaga anak yang sedang sakit.

"Agak sukar untuk saya berulang dari hospital ke rumah di Daerah Baling yang jaraknya terlalu jauh, dan kemudahan yang tersedia ini amat membantu," katanya.

-SH