Konsert The Red Lantern 2020 Hiburkan Warga Muar Sabtu Ini

Laporan/foto: Syed Hisham Shah (Putrajaya)

PUTRAJAYA, 14 Jan (Malaysiaaktif) – Membuka tirai mewarnai tahun 2020, Radio Televisyen Malaysia (RTM) dalam siri persembahan Orkestra RTM menjelajah negara menganjurkan “The Red Lantern Concert 2020” dengan kerjasama Pejabat Daerah Muar dan Majlis Perbandaran Muar bertempat di Dataran Tanjung Emas Muar, Johor, Sabtu ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan jabatan tersebut, dengan suntikan konsep Feel Good Toward New Era, penganjuran konsert terbitan Unit Hiburan TV RTM ini bertujuan memeriahkan sambutan Tahun Baharu Cina tahun ini dengan menonjolkan simbolik tanglung merah yang melambangkan kemeriahan dan kemewahan di samping membawa makna tenaga positif dan mewah.

“Menggunakan tagline Ai Ni Ai Ni Love You Love You, konsert ini seiring dengan objektif perpaduan dan harmoni, limpahan rezeki perniagaan, kegembiraan, kekayaan, dan kesejahteraan yang bakal diraih pada tahun pertama dalam kalendar lunar ini.

“Persembahan akan menampilkan barisan artis Cina tempatan juga artis berbilang kaum Malaysia serta lagu-lagu popular yang diminati ramai dalam kombinasi moden dan klasik seperti Sera, Umai, Kashika, Kexin, Masya Masyitah, Jeryll Lee, Neeta, Colours of Voice dan Zhuang Xue Zhong dan turut menampilkan Siti Nordiana, Datuk Awie dan Shila Amzah,” menurut kenyataan itu.

-SH