Jenayah Maritim Alami Penurunan

Laporan/foto: Syed Hisham Shah (Putrajaya)

PUTRAJAYA, 14 Jan (Malaysiaaktif) – Sejak kewujudan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) 15 tahun dahulu, kadar jenayah maritim terutamanya di Selat Melaka dan Laut China Selatan dilihat mengalami penurunan.

Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) Kementerian Dalam Negeri, Datuk Zainal Abidin Abu Hassan, menjelaskan kerjasama antara agensi penguatkuasaan tempatan dan antarabangsa dalam melaksanakan operasi dan latihan antara penyumbang kejayaan ini.

“Program sebegini menguatkan lagi hubungan dan kerjasama dalam pelbagai perkara serta memberikan banyak manfaat dan dengan ini ia mampu mengembangkan keupayaan negara anggota untuk menghantar, menerima, bertindak dan bertindak balas dengan maklumat yang diterima dalam cara yang betul.

“Mengekalkan hubungan baik antara anggota merupakan kunci dalam menangani jenayah transnasional dan menghindarkan aktiviti haram di sepanjang sempadan perairan negara,” katanya ketika merasmikan Persidangan 7th Commanders Forum on Southeast Asia Maritime Law Enforcement Initiative (SEAMLEI), di sini hari ini.

Menurut Zainal, SEAMLEI merupakan forum kerjasama strategik maritim negara anggota dengan inisiatif mewujudkan kerjasama serantau dalam menangani cabaran dan menguatkuasakan undang-undang maritim di Perairan Teluk Siam.

“Inisiatif ini bermula dengan pewujudan Forum Gulf of Thailand Initiative (GOTI) dengan dianggotai empat negara sahaja iaitu Thailand, Malaysia, Vietnam dan Kemboja. Penyertaan Indonesia dan Filipina yang merupakan anggota ASEAN telah merubah GOTI kepada SEAMLEI dengan perluasan skop yang lebih besar.

“Persidangan kali ini akan memberi tumpuan kepada kerjasama dan perkongsian maklumat dalam tugas penguatkuasaan dalam usaha memerangi aktiviti perikanan haram, tidak terkawal dan tidak dilaporkan (IUU) di negara masing-masing, berkongsi amalan terbaik berkaitan prosedur penguatkuasaan undang-undang serta meningkatkan kesedaran maritim,” katanya lagi.

Turut hadir, Ketua Pengarah Maritim Malaysia Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som dan Timbalan Komander U.S Coast Guard Pacific Area (PACAREA), Laksamana Muda David G. Throop.

-SH