Bahang Sambutan Tahun Baru Cina 2020 Makin Dirasai

Laporan/foto: Wee Kim Been (Kota Bharu)

KOTA BHARU, 14 Jan (Malaysiaaktif) - Hanya tinggal kurang dua minggu lagi masyarakat Cina akan meraikan sambutan Tahun Baru Cina bagi tahun 2020, setiap keluarga sudah mula melakukan persiapan awal untuk memastikan Perayaan Tahun Baru ini dapat disambut dengan penuh meriah dan bermakna.

Mengikut Zodiak Cina, tahun Baru 2020 juga dikenali sebagai Tahun Tikus Logam (Besi) di mana tahun ini akan memberi keuntungan, kemakmuran dan kekuatan bagi mereka yang rajin mencari ruang dan peluang untuk memajukan diri. Sebilangan besar kaum cina, lebih gemar melakukan persiapan awal sebelum menjelangnya musim perayaan ini.

Bagi Chan Wah Moi, 52, persiapan awal perlu dilakukan bagi menjamin keselesaan dan kepuasan beliau bersama keluarga dalam merayakan perayaan Tahun Baru Cina setiap tahun. Tambah beliau lagi, persiapan awal juga akan menjadikan seseorang itu pengguna yang bijak dalam berbelanja untuk menyambut perayaan tersebut.

Menurut Madam Low Ai Chin, 57 pula, walaupun dalam situasi ekonomi yang tidak menentu, permintaan Tanglung, kad ucapan, bunga- bungaan plastik serta hiasan dalaman rumah tetap menjadi pilihan kaum Tiong Hwa dan masyarakat setempat di Kelantan.

Biskut tradisi, Siput Kari Halus Manis mendapat permintaan tinggi dalam kalangan kaum Tiong Hwa Kelantan Biskut tradisi, Siput Kari Halus Manis mendapat permintaan tinggi dalam kalangan kaum Tiong Hwa Kelantan



Pada masa ini beliau telah membuka dua cawangan kedai jualan di bandar Kota Bharu dengan dibantu oleh tiga orang pekerjanya bagi menampung permintaan orang ramai apabila menjelangnya musim perayaan Tahun Baru Cina.

Bagi Aini Hussin, 45, beliau melahirkan rasa bersyukur dan bertuah apabila setiap kali tibanya Tahun Baru Cina hasil jualan di kedai beliau bekerja sentiasa mendapat sambutan yang cukup menggalakan dan pasti ‘Angpau besar ‘ untuk beliau daripada majikannya sebagai bonus untuk dirinya tahun ini.

Menurutnya lagi, kemakmuran serta keunikan budaya dan adat resam milik masyarakat berbilang kaum di negara ini hendaklah dipelihara serta dikekalkan sepanjang zaman demi kesejahteraan bersama.

Anis Hussin, 45, tersenyum manis melayan kerenah pelanggan yang berkunjung ke kedai tempat kerjanya. Anis Hussin, 45, tersenyum manis melayan kerenah pelanggan yang berkunjung ke kedai tempat kerjanya.



Bagi Ooi Pik Chu, 60, beliau tidak melepaskan peluang untuk memenuhi permintaan setiap pelanggan dalam menyediakan pelbagai citarasa aneka biskut tradisi warisan keluarganya.

“Permintaan tetap tinggi di kalangan kaum Tiong Hwa walaupun harga jualan agak mahal memandangkan penghasilan biskut aneka rasa tradisi ini hanya dihasilkan pada musim perayaan Tahun Baru Cina sahaja,” ulasnya lagi.

Bagi Ooi, beliau bersama sanak saudara serta ahli keluarganya masih meneruskan penghasilan biskut aneka pilihan tradisi ini agar tidak terus ditelan zaman.”

Di Kelantan permintaan aneka biskut serta kuih muih tradisi tetap menjadi pilihan utama kaum Tiong Hwa untuk juadah sajian Tahun Baru Cina setiap tahun, antaranya kuih bakul, tepung bungkus, kerepek lipat, sarang tebuan, siput kari halus manis, popia nestum, tat nenas dan banyak lagi.

-NAZ