Melaka Sasar Bina 168 Unit Rumah Peduli Rakyat Tahun Ini

Laporan/foto: Khairul Annuar Zulkernain (Alor Gajah)

ALOR GAJAH, 14 Jan (Malaysiaaktif) – Kerajaan Negeri Melaka menyasarkan untuk membina sejumlah 168 unit Rumah Peduli Rakyat di seluruh negeri pada tahun 2020.


Ini adalah bertepatan dengan komitmen kerajaan negeri untuk meningkatkan pemilikan rumah kepada semua rakyat dan menyediakan perumahan kepada semua lapisan masyarakat.


Rumah Peduli Rakyat merupakan salah satu inisiatif kerajaan negeri dalam memastikan golongan berpendapatan rendah dan memenuhi syarat ditetapkan dapat memiliki rumah sendiri. Kos pembinaan rumah ini adalah sebanyak RM 32 ribu untuk jenis dua bilik dan RM 37,500 untuk jenis tiga bilik tidak termasuk kos sampingan seperti kerja-kerja tanah dan lain-lain. Kerajaan negeri sebelum ini telah meluluskan pembinaan sebanyak 92 unit pada tahun 2019.


Menurut Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari dalam ucapan perasmian majlis penyerahan Rumah Peduli Rakyat Daerah Alor Gajah di Kampung Jeram, semalam, rumah Peduli Rakyat merupakan rumah percuma yang ditanggung kos pembinaannya oleh kerajaan negeri sepenuhnya dan kerajaan negeri berharap dengan inisiatif seperti ini, kehidupan serta ekonomi keluarga yang menerima rumah ini akan menjadi lebih baik apabila tidak perlu lagi membayar sewaan rumah dan sebagainya.


"Kerajaan pusat juga telah bersetuju untuk membantu kerajaan negeri membina lebih banyak Rumah Peduli Rakyat dengan memberi peruntukan tambahan sejumlah RM 3 juta dan saya berpuas hati dengan kualiti pembinaan rumah ini dan berharap agar Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Melaka terus memantau projek ini dimasa hadapan.


Turut hadir dalam majlis penerahan hari ini ialan Penyelaras DUN Tanjung Bidara, Datuk Halim Bachik dan Pegawai Daerah Alor Gajah, Rahizi Ranom.




Penyerahan kunci kepada penerima rumah peduli rakyat. Penyerahan kunci kepada penerima rumah peduli rakyat.


-KN