Perpustakaan Gombak Berwajah Baharu, Pelbagai Kemudahan Disediakan

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

GOMBAK, 14 Jan (Malaysiaaktif) - Perpustakaan Awam Daerah Gombak yang terletak di Bandar Baru Selayang kini berwajah baru selepas dinaik taraf sejak November 2017 dan dibuka semula pada September tahun lalu.

Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Mastura Muhamad, berkata penjenamaan semula dengan slogan 'Perpustakaan Rumah Keduaku' agar lebih ramai yang berkunjung ke perpustakaan.

"Konsep penjenamaan yang bermula 2016 dengan mempelbagaikan skop fungsi perpustakaan sebagai pusat pembelajaran, tempat pertemuan, pusat rekreasi dan pusat pembangunan modal insan.

"Selain menyediakan buku-buku dan ruang membaca yang selesa, turut disediakan bilik seminar, ruang perbincangan, studio rakaman, gimnasium dan kemudahan wifi percuma serta kafeteria," katanya.

Ruang bacaan yang selesa selain banyak kemudahan disediakan untuk pengunjung di Perpustakaan Awam Daerah Gombak Ruang bacaan yang selesa selain banyak kemudahan disediakan untuk pengunjung di Perpustakaan Awam Daerah Gombak



Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan semasa Majlis Perasmian Perpustakaan Awam Daerah Gombak yang disempurnakan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Amirudin menyampaikan ucapan ketika melawat studio rakaman yang disediakan untuk orang ramai di Perpustakaan Awam Gombak Amirudin menyampaikan ucapan ketika melawat studio rakaman yang disediakan untuk orang ramai di Perpustakaan Awam Gombak



Mengulas lanjut, Mastura menjelaskan Perpustakaan Daerah Gombak yang dibuka pada 2001 itu menerima pengunjung yang ramai berbanding sebelum penjenamaan semula.

"Sebelum ini pengunjung perpustakaan ini antara 20 hingga 30 pengunjung sehari, namun selepas penjenamaan semula ianya meningkat sehingga lebih 200 pengunjung.

"Kita harap perpustakaan di seluruh Selangor yang berjumlah 104 buah ini dapat berfungsi dan meningkatkan kualiti kehidupan menjadi institusi pendidikan di luar waktu sekolah khasnya para pelajar," katanya.

-NAZ