Eddin Terima Gelaran Datuk

Laporan/foto: Hamidah Md Drus (Kuala Pilah)/Fariz Faizal Mohd Nazri (KKMM)

KUALA PILAH, 14 Jan (Malaysiaaktif) – Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia merangkap Ahli Parlimen Kuala Pilah Eddin Shazlee Shith, menerima Darjah Dato' Paduka Negeri Sembilan (DPNS) yang membawa gelaran Datuk di Balai Rong Istana Besar Seri Menanti pagi tadi.

Eddin merupakan pemegang Ijazah Sarjana Undang-undang daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) 2007 dan Diploma Amalan Hukum Syariah daripada Universiti Teknologi MARA (UiTM) 2015.

Seramai 180 orang penerima menerima Darjah, Kebesaran, Bintang dan Pingat Negeri Sembilan sempena hari Keputeraan ke-72, Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir bagi sesi pertama.

Mengetuai senarai penerima  ialah Pengerusi Lembaga Pengarah UKM, Tan Sri Abdul Wahid Omar yang menerima Darjah Seri Setia Negeri Sembilan Yang Amat Cemerlang (SSNS) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Dalam pada itu dua orang Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan turut menerima Darjah Dato' Paduka Negeri Sembilan (DPNS) yang membawa gelaran Datuk, iaitu Dr Mohamad Rafie Ab Malek, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan serta Mohamad Taufek Abdul Ghani, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Belia dan Sukan.

Turut hadir Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.

-AK