Vaksin Influenza Mencukupi di Selangor - Amirudin

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

SELAYANG, 14 Jan (Malaysiaaktif) - Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari memberi jaminan bekalan vaksin influenza di Selangor mencukupi dan keadaan akan kembali seperti sedia kala menjelang minggu hadapan.

Katanya, permintaan yang tinggi ketika ini seolah-olah rakyat dalam keadaan panik menyebabkan bekalan vaksin influenza di beberapa klinik swasta kehabisan stok.

"Kerajaan negeri beri jaminan bekalan vaksin mencukupi, cuma situasi panik dalam kalangan rakyat menyebabkan bekalan di klinik swasta kehabisan stok.

"Tapi jaminan daripada Kementerian Kesihatan bekalan itu mencukupi cuma ada permintaan tinggi, ia dijangka kembali normal antara satu hingga dua minggu lagi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Perpustakaan Awam Selangor Daerah Gombak di Bandar Baru Selayang, di sini hari ini.

Turut hadir Exco Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga Negeri Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud dan Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor ( PPAS), Mastura Muhamad.

Mengulas lanjut, Amirudin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua berkata kerajaan negeri mengikuti perkembangan isu tersebut dan akan mengambil langkah seterusnya sekiranya keadaan tidak terkawal.

"Ada hikmah di sebalik isu influenza kerana ia menunjukkan kepentingan langkah pencegahan melalui pengambilan vaksin.

"Kerajaan negeri akan pantau perkembangan dari semasa ke semasa dan kalau ada perkembangan kurang baik atau parah, kita akan ambil tindakan yang seterusnya mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan," katanya.

Semalam, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad memaklumkan kerajaan telah meluluskan bekalan alternatif sebanyak satu juta tablet vaksin Influenza A kepada klinik swasta.

-NAZ