Anak PDK Gembira Terima Angpau

Laporan/foto: Salleh Immun (Sarawak)

SRI AMAN, 20 Jan (Malaysiaaktif) - Seramai 40 orang anak-anak Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Sri Aman gembira menerima sumbangan angpau pada Majlis Raikan Gong Xi Fa Chai Bersama Anak Istimewa, di sini hari ini.

Penyelia Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Sri Aman Sanny Law, berkata angpau yang diberikan merupakan inisiatif PDK bersama penaja untuk memastikan anak-anak istimewa ini tidak merasa dipinggirkan dan pada masa yang sama turut memberikan serta kegembiraan ketika sambutan Tahun Baru Cina yang bakal disambut nanti.

"Saya amat gembira dengan penglibatan penaja dari pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO), syarikat korporat dan penderma individu yang sudi tampil dan menyumbang sesuatu untuk anak-anak istimewa yang berada di pusat ini," katanya ketika ditemui.

Jelas Sanny, program sebegini dapat memberikan peluang untuk anak-anak istimewa ini merasai sendiri perasaan gembira seperti manusia normal sedia ada ketika menyambut sesuatu perayaan.

"Mereka pastinya amat teruja dengan adanya pihak luar yang sudi berkongsi kegembiraan ketika menikmati suasana sambutan Tahun Baru Cina bersama mereka di sini.

“Majlis anjuran Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Sri Aman ini seharusnya diteruskan bagi memastikan anak-anak istimewa sentiasa dihargai dan disayangi secara langsung menggembirakan mereka apabila meraikan sesuatu perayaan,” tambahnya.

-SH