Labuan Semarakkan Sambutan Hari Wilayah dan TMM2020

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Jeffrey Nian (Labuan)

LABUAN, 20 Jan (Malaysiaaktif) – Keterlibatan seluruh masyarakat bersama-sama agensi-agensi kerajaan mampu menyemarakkan lagi Sambutan Hari wilayah dan Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM2020).

Menurut Pengerusi Perbadanan Labuan (PL) Datuk Seri Amir Hussien, pihaknya ingin melihat keterlibatan seluruh lapisan masyarakat dan agensi kerajaan dapat diteruskan serta dikekalkan agar Labuan menjadi salah satu destinasi pelancongan utama di Malaysia.

“Keterlibatan bersama ini memperlihatkan Labuan yang bersatu-padu dan kita ingin lihat kesinambungan ini berterusan selamanya menerusi program-program yang dianjurkan sepanjang tahun ini.

“Kita juga ingin hidupkan Labuan dengan pelbagai acara dengan kerjasama semua pihak termasuk agensi swasta untuk membantu pihak kerajaan bersama-sama menyokong ke arah pembangunan Labuan,” katanya selepas melancarkan Kempen Kibar Bendera Wilayah Persekutuan Sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2020 Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan, di Dataran Labuan semalam.

Amir dan Dr. Fary melaungkan 'Sayangi Wilayahku' bersama-sama warga Labuan. Amir dan Dr. Fary melaungkan 'Sayangi Wilayahku' bersama-sama warga Labuan.



Jelasnya majlis pelancaran itu merupakan salah satu pengisian program Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2020 yang mana diadakan serentak dengan Kempen Kibar Bendera Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur dengan bertemakan ‘Sayangi Wilayahku’.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif PL Dr. Fary Akmal Osman, berkata Kempen Kibar Bendera Wilayah Persekutuan adalah wadah untuk menyemai rasa kebanggaan kepada bendera yang merupakan simbol kecintaan kepada negara dalam kalangan warga Wilayah Persekutuan.

“Ia juga mendidik warga Wilayah Persekutuan Labuan tanpa mengira kaum dan peringkat umur supaya mencintai dan menghormati bendera di samping menyemarakkan Sambutan Hari Wilayah Persekutuan dengan kibaran bendera di seluruh pulau ini yang secara tidak langsung menaikkan semangat muhibah serta mengeratkan integrasi dalam kalangan warganya.

“Semoga dengan adanya program sebegini kita semua akan terus bersemangat untuk menghargai, menyayangi dan melindungi pulau Labuan agar terus kekal dan sejahtera di samping hidup dalam suasana yang lebih harmoni,” katanya.

-SH