Ibu Bapa Perlu Dilengkapi Ilmu Kekeluargaan

Laporan/foto: Salleh Immun (Sarawak)

KUCHING, 21 Jan (Malaysiaaktif) - Anak merupakan anugerah paling bernilai dalam institusi kekeluargaan khususnya kepada pasangan suami isteri kerana kehadiran anak secara langsung memberikan kebahagiaan serta menceriakan setiap pasangan dan melengkapkan keluarga itu sendiri.

Menerusi Program Ilmu [email protected] bertemakan ‘Arituk’ memberikan gambaran menyeluruh mengenai peranan yang harus dimainkan oleh ibu bapa bagi memastikan anak-anak mereka tidak terpinggir untuk menikmati kehidupan yang lebih bermakna.

Penolong Pegawai Pembangunan Masyarakat Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Sarawak Mohd Shahrezal Arrashid, berkata bahawa ibu bapa merupakan individu yang amat rapat serta mengetahui kehendak anak masing-masing.

"Pembentukkan sahsiah dan peribadi anak bermula daripada rumah, maka ibu bapa perlu menjadi teladan dan contoh terbaik kepada anak-anak agar mereka dapat membentuk keperibadian yang tinggi serta berdisiplin," katanya yang ditemui sempena program tersebut, di sini hari ini.

Shahrezal ketika menyampaikan ceramahnya, di sini hari ini. Shahrezal ketika menyampaikan ceramahnya, di sini hari ini.



Menurut Shahrezal, banyak permasalahan serta isu berlaku kepada anak-anak masa kini khususnya kes-kes salah laku dan gejala sosial, antara penyebab masalah ini berlaku adalah disebabkan kecuaian ibu bapa yang alpa akan tanggungjawab mereka menegur, mendidik dan memberi tunjuk ajar yang berkualiti kepada anak mereka.

"Sebagai ibu bapa kita harus tahu akan peranan kita dalam aspek pendidikan awal di rumah kerana pendidikan awal yang bermula di rumah ini akan diguna pakai oleh anak-anak kita apabila mereka berada di luar.

“Ibu bapa tidak harus melepaskan tanggungjawab ini kepada pihak lain jika berlaku permasalahan, gangguan emosi dan gangguan keselamatan kepada anak mereka," katanya lagi.

Shahrezal yakin melalui program yang dilaksanakan ini akan dapat memberikan maklumat yang berkesan ke arah membentuk institusi keluarga yang mampan.

Seramai tiga orang ahli panel diundang sempena program ini yang dihadiri sekitar 180 orang peserta iaitu Penolong Pegawai Penerangan LPPKN Sarawak Cybill Linda Valentine, Mantan Pegawai Jurulatih Pakar Pemajuan Sekolah Jais Sahok dan Shahrezal sendiri.

-SH