Pusat IT Desa Kuala Krai: Medan Mengasah Kemahiran Teknologi Maklumat

Laporan /Foto : Suhaimi Nik Wil (Kuala Krai)

KUALA KRAI, 21 Jan (Malaysiaaktif) – Kewujudan Pusat Internet Desa telah membuka ruang kepada masyarakat luar bandar untuk mempelajari ilmu teknologi maklumat berasaskan komputer. Pusat internet desa yang terletak bersebelahan Pejabat Pos Kuala Krai menjadi tumpuan orang ramai mendalami ilmu teknologi yang sejajar dengan kemajuan teknologi maklumat masa kini.

Pusat Internet Desa Kuala Krai ini mempunyai dua orang tenaga pengajar daripada Agensi Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM), Negeri Kelantan yang terlatih serta bertauliah.

Menurut Pegawai Teknologi Maklumat, Pusat Internet Desa Kuala Krai, Hasyim Che Manan, diantara tujuan utama penubuhan pusat Internet Desa di bawah Kementerian Komunikasi Multimedia Malaysia (KKMM) ialah untuk merealisasikan hasrat kerajaan bagi merapatkan jurang digital di kalangan masyarakat terutama sekali melibatkan kawasan luar Bandar.

“Pada tahun ini Pusat Internet Desa Kuala Krai akan menjalin kerjasama dan kolaborasi dengan Pejabat Penerangan Daerah Kuala Krai menerusi program yang disusun secara bersepadu demi untuk menyebarluaskan lagi ilmu IT kepada masyarakat pedalaman. Diharap menerusi program-program yang diatur Pejabat Penerangan Daerah Kuala Krai impian kerajaan untuk merapatkan jurang digital di kalangan masyarakat mampu menjadi kenyataan.“ ujar Hasyim.

Pegawai Teknologi Maklumat Pusat Internet Desa Kuala Krai, Hasyim Che Manan Pegawai Teknologi Maklumat Pusat Internet Desa Kuala Krai, Hasyim Che Manan



Seorang pengunjung, Syameer Shazwan Sharulnizam, 18, berpendapat Pusat Internet Desa ini bagus untuk semua lapisan masyarakat tanpa mengira batas usia dan ia dapat membantu pelajar lepasan SPM mengisi masa lapang dengan mempelajari lebih banyak perkara tentang IT melalui bantuan tenaga pengajar yang bertauliah.

“Adalah satu kerugian jika tidak merebut peluang yang berada di depan mata dan sesiapa yang lambat pasti akan tertinggal di belakang, saya menyeru kepada mereka yang berada di luar sana terutama sekali golongan muda agar berkunjunglah ke Pusat Internet Desa yang berdekatan tempat tinggal anda untuk mendalami ilmu IT.“ ujarnya lagi.

Pusat Internet Desa Kuala Krai dibuka secara percuma kepada semua pengunjung, bayaran RM50.00 hanya sekali sahaja dikenakan kepada mereka yang ingin belajar ilmu komputer hingga mahir dan peserta juga akan diberi sijil serta buku panduan. Pusat Internet Desa Kuala Krai bersedia menerima tetamu dari jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang setiap hari bekerja.

-NAZ