Sambutan Tahun Baharu Cina Landasan Kukuhkan Perpaduan

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

SELAYANG, 21 Jan (Malaysiaaktif) – Sambutan Tahun Baharu Cina yang akan diraikan tidak lama lagi perlu dijadikan landasan untuk memperkukuhkan perpaduan di kalangan masyarakat majmuk di negara ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Templer, Mohd Sany Hamzan, berkata perasaan hormat menghormati antara kaum dan agama selama ini berjaya membina Malaysia menjadi sebuah negara yang unik dan dipandang tinggi masyarakat luar.

“Semoga tahun tikus kali ini yang melambangkan kecerdikan dan kecerdasan, rakyat juga akan beroleh kejayaan, kesenangan dan kegembiraan.

“Diharapkan juga ekonomi negara terus bertambah baik supaya kehidupan rakyat juga bertambah makmur dan harmoni.

“Selamat menyambut Tahun Baharu Cina dan kepada yang ingin bercuti dipermudahkan perjalanan dan berhati-hati di jalan raya,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan ringkas dalam Program Agihan Buah Limau dan Sesi Bertemu Rakyat yang turut disertai Ahli Parlimen Selayang, William Leong Jee Keen di Taman Selayang Baharu, di sini hari ini.

Sementara itu, William Leong turut menyeru agar semua kaum di negara ini terus bersatu padu supaya perpaduan yang terbina sejak dahulu akan lebih kukuh.

“Semua kaum perlu bersatu padu dengan mengelakkan perselisihan faham, yang bercakaran hanya ahli politik sahaja.

“Paling penting semua pemimpin tidak kira parti perlu bekerja untuk kebaikan kaum dan agama dengan matlamat untuk meningkatkan kehidupan rakyat,” katanya.

-NAZ