Pilihan Raya Kampus Wujudkan Semangat Demokrasi Pelajar

Laporan/foto : Shahril Annuar Ahmad (Arau)

ARAU, 21 Jan (Malaysiaaktif) - "Pilihan raya kampus bukan sahaja dapat mewujudkan semangat demokrasi pelajar dalam memilih pemimpin pelajar yang berwibawa tetapi juga mampu membawa perubahan kepimpinan pelajar ke arah jati diri yang lebih tinggi.

"Kepimpinan mampu membentuk jati diri untuk mereka yang layak menjadi pemimpin di dalam kampus," ujar Roseliza Datuk Shaari, Timbalan Pengarah Akademik Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Perlis.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan kepada bakal pemimpin pelajar sebelum mengumumkan keputusan pilihan raya Kampus Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Perlis (PTSS) bagi tahun 2020.

Para pelajar beratur menunggu giliran untuk menunaikan tanggungjawab membuang undi. Para pelajar beratur menunggu giliran untuk menunaikan tanggungjawab membuang undi.



"Pilihan raya kampus adalah aktiviti yang sihat dan membuka peluang kepada pelajar yang ingin menjadi pemimpin untuk mengetahui dengan lebih mendalam mengenai prosedur pemilihan yang akan melalui proses pengundian, pendedahan kepada amalan berkempen dan boleh memilih pemimpin masing-masing secara bebas dan rahsia.

“Selain daripada itu, pelajar juga dapat mempelajari cara untuk menghormati keputusan pilihan raya walaupun ianya tidak memihak kepada calon pilihan mereka," tambahnya.

Piliha raya ini telah berjaya dilaksanakan pada 8 Januari 2020 yang lalu dengan proses pengundian telah dijalankan di Dewan Harumanis, PTSS bermula jam 8.30 pagi dan berakhir pada 4.30 petang.

Proses pengundian dilaksanakan dengan menggunakan E-Vote. Proses pengundian dilaksanakan dengan menggunakan E-Vote.



"Pilihan raya ini diadakan bertujuan untuk memilih wakil untuk Majlis Perwakilan Pelajar PTSS bagi tahun 2020 di mana seramai 35 orang calon telah bertanding bagi merebut jawatan Exco dalam Majlis Perwakilan Pelajar PTSS 2020 namun hanya 24 orang calon sahaja yang akan dilantik manakala 13 calon bertanding merebut Kerusi Jabatan.

"Seramai 3087 orang pengundi yang layak telah mengundi dalam pilihan raya ini," katanya lagi.

Pada pilihan raya kali ini pihak Jabatan Hal Ehwal Pelajar telah mengunakan sistem E-Vote bagi memudahkan pengundian dijalankan dan ia telah diadakan serentak di seluruh politeknik di Malaysia.

Timbalan Pengarah Akademik PTSS, Roseliza Datuk Shaari mengumumkan keputusan Pilihan Raya Kampus. Timbalan Pengarah Akademik PTSS, Roseliza Datuk Shaari mengumumkan keputusan Pilihan Raya Kampus.



Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar PTSS Rosnizam Kamis berkata, “pilihan raya kampus ini merupakan yang paling berjaya diadakan dengan peratusan keluar mengundi antara yang paling tinggi di antara politeknik Malaysia iaitu 96.54 peratus daripada jumlah pelajar yang layak mengundi seramai 3087 orang dan ini menunjukkan tahap kesedaran pelajar tentang tanggungjawab mereka sebagai pengundi semakin meningkat."

Nik Ameerul Uwais Rostam Afandi dari Jabatan Rekabentuk dan Komunikasi Visual mendapat undi paling tinggi sebanyak 819 undian, Ahmad Aizzat Abdul Karim dari Jabatan Perdagangan mendapat undi kedua tertinggi sebanyak 735 undian dan Muhammad Najmi Syazli Shahar pula mendapat undi ketiga tertinggi sebanyak 672.

Menurut Nik Ameerul Uwais Rostam Afandi calon yang mendapat undi paling tinggi, beliau tidak menyangka akan dipilih sebagai calon yang mendapat undian paling tinggi bagi pilihan raya kali ini dan berikrar akan bekerja keras untuk memastikan kebajikan para pelajar terpelihara dan mendapat kemudahan yang baik dalam menjalani kehidupan sebagai pelajar di kampus ini.

-NI-