Influenza A: SK Stella Maris, Sekolah Pertama Ditutup di Sabah

Foto: Ihsan BERNAMA

PUTRAJAYA, 22 Jan (Malaysiaaktif) - Sekolah Kebangsaan (SK) Stella Maris di Sabah ditutup, selepas enam pelajarnya dilaporkan menghidapi penyakit Influenza A atau H1N1.

Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Datuk Frankie Poon Ming Fung, ketika mengesahkan penutupan sekolah itu berkata notis penutupan sekolah itu dibuat Pejabat Kesihatan Kota Kinabalu.

“Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) akan terus melakukan pemantauan”, katanya selepas majlis penyerahan kepala singa sempena perayaan Tahun Baru Cina kepada 40 Persatuan Cina oleh Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas notis arahan penutupan sekolah itu selama tujuh hari, bermula esok.

Sementara itu, Mohd Shafie berkata semua pihaknya khususnya ibu bapa perlu memainkan peranan dengan memantau anak-anak mereka dan mengambil langkah berjaga-jaga.

Katanya di pihak kerajaan, menerusi JKNS akan berusaha memastikan gejala penyakit berjangkit ini dikawal dan ditangani agar tidak terus merebak.

-- BERNAMA