Penularan Influenza di Sekolah Terkawal - KP Kesihatan

Foto Ihsan : BERNAMA

PUTRAJAYA, 22 Jan (Malaysiaaktif)  - Penularan virus Influenza A atau H1N1 yang dilaporkan berlaku di institusi pendidikan berada dalam keadaan terkawal dan langkah-langkah pencegahan telah dilaksanakan, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Katanya setakat ini hanya dua sekolah ditutup akibat penularan virus tersebut iaitu Sekolah Menengah Sains Teluk Intan di Perak (mulai 11 hingga 19 Jan) dan Sekolah Kebangsaan Stella Maris, Tanjung Aru di Sabah (mulai 22 hingga 28 Jan).

Menurutnya penutupan kelas pula dilaksanakan di tiga sekolah di Pulau Pinang yang setiap satunya melibatkan tempoh masa berlainan hasil perbincangan antara pihak pejabat kesihatan dan pihak sekolah terlibat.

"Majoriti pelaporan kejadian jangkitan saluran pernafasan yang diterima oleh Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tiga minggu pertama tahun 2020 adalah melibatkan institusi pendidikan.

"Antara faktor penyumbang kepada situasi ini adalah penularan virus influenza yang mudah berlaku di tempat padat seperti di sekolah, di mana murid-murid bergaul rapat sesama mereka sepanjang sesi persekolahan," katanya dalam kenyataan semalam.

Menurut kenyataan itu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memberi kerjasama baik kepada KKM dalam memastikan langkah pencegahan dan kawalan jangkitan influenza di sekolah dilaksanakan, termasuk sesi townhall yang dijalankan khususnya bagi sekolah yang terlibat dengan kejadian wabak itu.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata tidak semua demam selesema adalah disebabkan jangkitan virus influenza dan lazimnya pesakit dengan jangkitan virus itu sembuh tanpa sebarang rawatan spesifik.

Justeru, KKM mengingatkan orang ramai mengamalkan kebersihan diri dengan kerap membasuh tangan dengan sabun dan air atau 'hand sanitiser', rehat secukupnya, memastikan diri sentiasa terhidrat dan mendapatkan rawatan sekiranya tidak sihat.

Pada masa yang sama, orang awam juga dinasihatkan supaya tidak terpedaya dengan tuntutan perubatan yang dibuat pada sebarang produk yang meragukan terutama yang dikatakan dapat merawat jangkitan influenza.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata sejumlah 99,470 dos vaksin influenza dijangka dibawa masuk ke Malaysia pada bulan ini dan daripada jumlah itu 16,839 dos telah lulus penilaian kualiti oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) pada hari ini dan pihak pembekal akan mengagihkan stok berkenaan ke semua fasiliti yang memohon.

Katanya 15,000 dos lagi telah tiba dalam negara dan akan melalui penilaian kualiti dalam masa terdekat manakala baki 67,631 dos lagi akan tiba sekitar penghujung Januari.

Pada masa sama, sejumlah 35,100 dos vaksin influenza daripada pembekal alternatif juga telah dibawa masuk ke Malaysia pada minggu ini bagi menampung keperluan semasa.

-- BERNAMA