Peruntukan RM500 Ribu Naik Taraf Dewan Orang Ramai Titi

Laporan/foto: Parimala Devi Suppiah (Jelebu)

JELEBU, 22 Jan (Malaysiaaktif) – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah memperuntukkan sebanyak RM500 ribu untuk menaik taraf dan memperbaiki semula Dewan Orang Ramai Titi, di sini.

Dewan yang dibina pada awal tahun 80-an tersebut boleh memuatkan seramai 300 orang pada satu-satu masa mulai uzur dan mengalami kerosakan pada tahun 2016 yang lalu.

Kerja-kerja menaik taraf tersebut mengambil masa selama 12 minggu dan telah siap sepenuhnya pada 9 Ogos 2019 yang lalu.

Majlis Perasmian Dewan Orang Ramai Titi ini telah disempurnakan oleh Datuk Undang Luak Jelebu Datuk Mendika Menteri Akhirulzaman, Datuk Maarof Mat Rashad pada Isnin.

Menurut beliau, dengan adanya Dewan Orang Ramai Titi tersebut, penduduk setempat boleh merancang dan menggadakan pelbagai program seperti acara sukan, aktiviti kebudayaan, majlis keraian dan sebagainya.

WhatsApp Image 2020-01-21 at 14.21.55 Datuk Undang bersama tetamu jemputan di hadapan dewan.



“Dewan ini bertindak sebagai pusat komuniti dan secara tidak langsung dapat membawa kebaikan kepada masyarakat setempat yang mendapat manfaat daripadanya.

“Pihak pengurusan daerah juga sentiasa prihatin terhadap setiap keperluan rakyat pada masa yang sama berusaha untuk memenuhi dengan seberapa segera yang boleh,” ujar beliau.

Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Chennah merangkap Menteri Pengangkutan Malaysia, Anthony Loke Siew Fook, berharap agar dewan tersebut dapat menjadi pusat setempat yang mampu memupuk perpaduan sesama masyarakat setempat.

“Dewan Orang Ramai Titi ini dibina supaya seluruh masyarakat tanpa mengira kaum boleh menggunakanya walaupun lokasinya terletak di Kampung Baru Cina dan diharap ianya dapat dimanfaat dengan sebaiknya,” katanya.

Turut hadir, Pengerusi Jawankuasa Bertindak Pertanian dan Industri Asas Tani, Bakri Sawir, Pemangku Pegawai Daerah Jelebu, Nurul Huda Musa dan Pengasas dan Pengerusi Yayasan Budi, Tan Sri Dr. Rais Yatim serta isteri, Puan Sri Masnah Rais.

-AK