Teruskan Tradisi Bantu Golongan Kurang Bernasib Baik

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Jeffrey Nian (Labuan)

LABUAN, 22 Jan (Malaysiaaktif) – Masyarakat diseru untuk meneruskan tradisi memberi bantuan serta sumbangan kepada golongan kurang bernasib baik terutama menjelang musim perayaan.

Ahli Parlimen Labuan Datuk Rozman Isli, berkata kita perlu berbangga dengan tradisi di negara ini kerana golongan kurang bernasib tidak dilupakan apabila menjelang satu-satu perayaan.

“Diharap tradisi ini dapat diteruskan tanpa mengira latar belakang kaum dan agama serta diharap ianya mampu meringankan bebanan golongan ini yang sememangnya memerlukan perhatian terutama kepada mereka yang menyambut Tahun Baharu Cina tidak lama lagi,” katanya semasa ditemui selepas menyampaikan sumbangan barangan keperluan harian dan angpau, di sini semalam.

Jelas Rozman, semua penerima bantuan tersebut juga penerima pelbagai bantuan kerajaan antaranya penerima bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat dan penerima bantuan alat perubatan menerusi Program Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40).

“Saya juga berharap kerajaan akan meningkatkan peruntukan untuk program-program bantuan kepada golongan yang kurang bernasib baik terutama bagi mereka yang sudah tidak mampu bekerja dan tiada pendapatan tetap.

“Selain menghulur bantuan, tradisi rumah terbuka juga katanya perlu diteruskan sebagai peluang untuk menyuburkan hubungan baik serta keharmonian masyarakat pelbagai kaum yang ada di Malaysia,” katanya.

-SH