Sayangi Cameron Highlands

Laporan/ foto: Muhammad Arief/ Muhamad Khairul Faizal (Cameron Highlands)

CAMERON HIGHLANDS, 22 Jan (Malaysiaaktif) – Gabungan kerjasama daripada Badan Bukan Kerajaan (NGO) iaitu Kelab Radio Amatur Cameron Highlands (RCRC), Kelab Memanah Cameron Highlands (CAC), Cameron Highlands Adventure Team (CHAT 4X4) dengan kerjasama agensi kerajaan iaitu SWCorp, Alam Flora dan juga Pejabat Penerangan Daerah Cameron Highlands selain turut melibatkan orang awam telah berjaya merealisasikan Program Sayangi Cameron Highlands 1.0 buat julung kali nya pada tahun ini, di sini, semalam.




Antara NGO, orang awam dan agensi kerajaan yang terlibat Antara NGO, orang awam dan agensi kerajaan yang terlibat


Program gotong-royong sambil beriadah yang diadakan di sekitar jalan Taman Sedia adalah salah satu langkah positif daripada pihak yang telibat untuk menceriakan kawasan sekitar Cameron Highlands agar setiap pelancong mahupun penduduk setempat selesa dengan persekitaran yang bersih dan ceria, di samping menjaga kelestarian alam di Cameron Highlands.


Menurut Timbalan Pengerusi Kelab Radio Amatur Cameron Highlands (RCRC), Murli Fansuri Zakaria, selaku penganjur bersama bagi program ini, pembuangan sampah di merata-rata tempat yang dilakukan oleh segelintir pelancong atau penduduk setempat sedikit sebanyak telah mencemarkan Cameron Highlands.


“Banyak sampah sarap yang dibuang merata-rata tanpa memikirkan soal kebersihan oleh segilintir pihak yang tidak bertanggungjawab dan hal ini telah mencacatkan pemandangan serta kelestarian Cameron Highlands sebagai pusat pelancongan. Pembuangan sampah ini perlu kita tangani kerana sekiranya kita tidak mengambil berat maka ia akan memberi kesan yang lebih buruk pada masa akan datang. Jika dibiarkan tanpa pengawasan, Cameron Highlands akan lebih teruk tercemar,” ujarnya.


Tambah Murli lagi, “Program ini juga diharapkan akan menjadi pencetus tentang pentingnya kesedaran terhadap penjagaan alam sekitar dan harapan kami agar program ini dapat dilaksanakan dari semasa ke semasa.”




Temubual bersama Muhammad Yusri Aman (tengah) dan Timbalan Pengerusi RCRC, Murli Fansuri Zakaria (kiri). Temubual bersama Muhammad Yusri Aman (tengah) dan Timbalan Pengerusi RCRC, Murli Fansuri Zakaria (kiri).


Muhammad Yusri Aman berkata, “Saya bersetuju dengan usaha sama agensi kerajaan dan NGO yang terlibat dalam menjaga kebersihan daerah Cameron Highlands agar tidak tercemar dan memberi kesan buruk pada masa depan.”


Katanya lagi, selaku penduduk tempatan, beliau rasa bertangunggjawab dalam menjaga dan menyemai rasa sayang terhadap kebersihan Cameron Highlands seiring dengan ajaran agama yang cintakan kepada kesucian dan kebersihan.


-KN