Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Negeri Sembilan Disambut Meriah

Laporan/foto: Mohd Fauzi Mohd Yusof/Daniel Jong (Tampin)/FB Teo Kok Seong

TAMPIN, 5 Feb (Malaysiaaktif) - Kira-kira 2,000 penduduk pelbagai kaum telah memeriahkan Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Peringkat Negeri Sembilan bertempat di Kompleks Arena Dataran Tampin, di sini Isnin lalu.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata program rumah terbuka merupakan acara tahunan kerajaan negeri dalam usaha untuk mengelorakan semangat perpaduan dan keterbukaan masyarakat pelbagai kaum di negeri ini.

“Perbezaan dalam pegangan agama dan budaya telah menjadikan negeri kita lebih kukuh dan saling mengenali antara satu dengan yang lain.

“Saya yakin dengan warna merah akan membawa ‘Ong’ untuk menyemarakkan nilai-nilai murni dan penyatuan masyarakat di negeri ini,” ujar beliau ketika berucap.

WhatsApp Image 2020-02-04 at 18.58.46 Upacara ‘Yee Sang’ sebagai simbolik perpaduan kaum.



Di majlis yang sama, Aminuddin turut memberitahu bahawa Negeri Sembilan adalah antara negeri yang bertuah kerana beberapa projek berskala besar turut melimpahi ke negeri tanah beradat itu.

Tambahnya lagi, ekonomi penduduk setempat khususnya di daerah Tampin akan dapat ditingkatkan dengan siapnya pembinaan Projek Landasan Berkembar Elektrik (PLDE) Gemas-Johor Bahru yang dijangka siap sekitar Oktober tahun hadapan.

“Projek bernilai RM8.9 billion tersebut akan memperlihatkan landasan baru dari Gemas sehingga ke Kempas Baru dan ini sudah tentu akan membawa lebih banyak peluang pekerjaan dan perniagaan untuk penduduk disini,” katanya.

Dalam pada itu, orang ramai dan tetamu yang hadir turut dipersembahkan dengan tarian kebudayaan serta persembahan bunga api dan juga hidangan pelbagai makanan tempatan.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr Razali Abdul Malek dan kesemua Exco Kerajaan Negeri Sembilan.

-AK