Koperasi Digalak Laksana Lebih Banyak Projek Berdaya Maju

Laporan/foto: Genda Sating/Mahmud Sulaiman (Sarawak)

KUCHING, 8 Feb (Malaysiaaktif) - Koperasi di Sarawak digalakkan untuk melaksanakan lebih banyak projek berdaya maju serta melibatkan diri dalam pelbagai kegiatan ekonomi dan sosial yang boleh memberi manfaat kepada anggota.

Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Datuk Nordin Salleh berkata bagi tujuan tersebut, pihak SKM telah memperuntukkan dana bernilai RM11.08 juta kepada 11 buah koperasi di Sarawak.

"Daripada jumlah tersebut sebanyak RM10.7 juta diperuntukkan kepada enam koperasi menerusi Pembiayaan Tabung Modal Pusingan Jabatan Pembangunan Koperasi (TMP-JPK).

"Antaranya, RM10 juta diagihkan kepada beberapa koperasi di sini bagi tujuan modal pusingan pinjaman anggota, manakala selebihnya digunakan oleh Koperasi Bunan Serian Bhd untuk membiayai pembelian unit bangunan kedai dua tingkat," katanya semasa menghadiri Program Bicara Eksekutif, di sini semalam.

Menurut Nordin, aktiviti kredit sememangnya merupakan penyumbang utama pendapatan koperasi di Sarawak.

Nordin (tengah) semasa menyampaikan replika check Pembiayaan Modal Pusingan Jabatan Pembangunan Koperasi (TMP-JPK) kepada salah seorang pengendali koperasi. Nordin (tengah) semasa menyampaikan replika check Pembiayaan Modal Pusingan Jabatan Pembangunan Koperasi (TMP-JPK) kepada salah seorang pengendali koperasi.



"Pada tahun 2018, sebanyak 41% atau RM101.8 juta daripada RM248.3 juta keseluruhan perolehan, melibatkan 24 daripada 1,054 koperasi di seluruh Sarawak.

"Pada tahun 2019, SKM telah menyalurkan pembiayaan dana TMP-JPK berjumlah RM65 juta kepada 63 buah koperasi sebagai tambahan modal manakala RM5 juta bantuan pembangunan diluluskan kepada 147 buah koperasi," katanya lagi.

Selain itu, Nordin menjelaskan SKM turut membantu koperasi-koperasi menjalankan aktiviti yang boleh menjana pendapatan dalam memenuhi keperluan komuniti setempat dan meningkatkan sosio ekonomi ahli-ahli melalui khidmat nasihat dan bimbingan projek yang dipantau dari semasa ke semasa.

"SKM memberi fokus kepada projek titik permulaan (EPP) dalam bidang Pemborongan dan Peruncitan bagi membantu rakyat mengurangkan kos sara hidup terutama golongan B40 dan M40.

"SKM juga menitikberatkan penggunaan ICT kepada koperasi selaras dengan teknologi ledakan ICT seperti IR4.0 yang pasti dapat membantu meningkatkan kecekapan urus tadbir koperasi," tambahnya.

Pada majlis yang sama, SKM turut menyampaikan geran bantuan pembangunan bernilai RM380 ribu kepada lima buah koperasi di Sarawak untuk membiayai kos pembinaan dan operasi kedai serta pembiayaan kos pembelian peralatan dan kelengkapan.

-SH