Sukan Sekolah Platform Bentuk Perpaduan

Laporan/foto: Iswandy Kassim (Sarawak)

SRI AMAN, 10 Feb (Malaysiaaktif) - Sukan bukan sahaja dapat memberi manfaat kepada kesihatan tubuh badan namun secara tidak langsung dapat menyemarakkan lagi semangat perpaduan dalam kalangan peserta.

Ahli Parlimen Lubok Antu Jugah Muyang, berkata penganjuran sukan di peringkat sekolah dilihat merupakan satu platform yang baik dalam memupuk perpaduan dalam kalangan murid pada peringkat awal.

"Semangat ukhwah perlu disemai dari awal bermula daripada peringkat rendah kerana ia dapat menguatkan lagi perpaduan dalam diri serta sebagai bekalan untuk mengharungi sebarang hasutan pada masa hadapan," katanya ketika menyempurnakan penangguhan Kejohanan Olahraga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lubok Antu di Mini Stadium Lubok Antu, di sini baru-baru ini.

Temasya seperti ini bukan hanya mengukur kemampuan anak-anak kecil bertanding dalam acara-acara sukan tetapi turut membina keyakinan diri.

“Sukan sekolah ini juga sebagai salah satu daripada usaha pihak sekolah dalam memastikan akses pendidikan yang berkualiti untuk setiap murid agar berupaya memberi kesan berganda dalam bidang pembelajaran.

"Ini secara tidak langsung dapat melonjakkan pencapaian murid-murid dalam bidang pembelajaran khasnya,” katanya lagi.

Dalam perkembangan sama, Jugah turut menggesa ibu bapa supaya memainkan peranan yang sama bagi memelihara perpaduan dengan memberikan penekanan kepada anak-anak supaya sentiasa bertolak ansur sesama rakan-rakan mereka.

"Bimbingan daripada ibu bapa, anak-anak dapat mempraktikkan budaya berkenaan di sekolah yang dilihat akan memberi impak yang positif dalam kehidupan mereka sepanjang masa.

“Elemen ini sangat dititik beratkan oleh pihak sekolah bagi melahirkan insan yang seimbang dari segi jasmani, emosi, intelektual dan rohani, inilah modal insan yang bersifat holistik yang bakal kita lahirkan pada hari ini dan juga pada masa akan datang,” tambahnya.

-SH