Kuala Lumpur Singkirkan Juara Bertahan

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Roziman Mahmudin (Labuan)

LABUAN, 11 Feb (Malaysiaaktif) – Pasukan Bola Jaring Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan Malaysia (MAKSAK) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur muncul johan Kejohanan Bola Jaring MAKSAK Malaysia 2020 selepas menumbangkan Selangor yang juga juara bertahan selama tiga tahun berturut-turut, di sini baru-baru ini.

Pada perlawanan akhir yang berlangsung di Dewan Arena Bukit Kuda, Kuala Lumpur berjaya mengawal permainan dari awal hingga tamat perlawanan sekali gus menafikan kebangkitan Selangor pada separuh masa kedua perlawanan.

Permainan konsisten pasukan Kuala Lumpur yang diperkuat dua pemain kebangsaan, Noramirah Dayana Noor Azhar dan Puah Pei San berjaya meletakkan mereka selaku juara dengan keputusan akhir 34-24.

Pasukan tuan rumah yang turut menyertai Kejohanan Bola Jaring MAKSAK Malaysia 2020. Pasukan tuan rumah yang turut menyertai Kejohanan Bola Jaring MAKSAK Malaysia 2020.



Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan merangkap Yang Dipertua, MAKSAK Labuan Dr. Fary Akmal Osman, berkata Labuan berbesar hati menerima delegasi dari seluruh negara.

“Labuan gembira menerima semua pasukan yang memeriahkan wilayah ini sepanjang kejohanan berlangsung dan berharap semua delegasi sentiasa ingat serta datang kembali ke sini untuk menyertai acara-acara lain yang telah disusun atur sepanjang tahun ini.

“Kejohanan ini juga dapat mencungkil bakat-bakat baharu sekaligus menjadi platform untuk melahirkan pemain pelapis negara dan kita harap MAKSAK Malaysia akan memilih Labuan sebagai tuan rumah untuk acara lain pada masa hadapan,” katanya ketika menyempurnakan majlis penyampaian hadiah kejohanan tersebut.

-SH