Setiausaha Agung Komanwel Sarapan Bersama Pelajar UIAM

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

GOMBAK, 12 Feb (Malaysiaaktif) - Setiausaha Agung Komanwel Patricia Scotland, hari ini bersarapan bersama lebih 100 pelajar dari negara-negara Komanwel di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), di sini hari ini.

Scotland berada di negara ini dalam rangka lawatan kerja selama tujuh hari ke Malaysia mulai 9 hingga 15 Februari atas undangan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Semasa menyampaikan ucapan, Scotland berkata Malaysia merupakan sebuah negara penting dalam Komanwel yang menjadi contoh baik untuk negara-negara lain.

Patricia Scotland (dua dari kiri) diberi penerangan mengenai UIAM ketika berkunjung ke universiti tersebut pagi tadi. Patricia Scotland (dua dari kiri) diberi penerangan mengenai UIAM ketika berkunjung ke universiti tersebut pagi tadi.



“Malaysia sebuah negara sedang membangun yang menjadi contoh kepada negara-negara lain dalam memperjuangkan keamanan, kemasyarakatan dan bangsa.

“Kebanyakan negara dalam Komanwel adalah kepulauan kecil yang sedang membangun dan dapat menepis tanggapan masyarakat luar yang menganggap sukar untuk maju,” katanya ketika ditemui pemberita.

Scotland yang dilantik memegang jawatan Setiausaha Agung Komanwel pada 2015 menyeru semua agar memegang kepada kepercayaan (faith) masing-masing.

Patricia Scotland berbual dengan pelajar-pelajar UIAM ketika hadir bersarapan pagi ini. Patricia Scotland berbual dengan pelajar-pelajar UIAM ketika hadir bersarapan pagi ini.



“Saya harap anda berpegang teguh kepada kepercayaan masing-masing, cintakan tuhan sepenuh hati dan sayangkan semua orang tanpa mengira perbezaan kaum dan agama kerana setiap manusia mempunyai halk untuk dihormati dan disayangi.

“Saya ingin anda bersuara dan bangkit memperjuangkan keamanan dan jangan biarkan orang lain memecah belahkan kita,” katanya lagi.

Turut hadir, Rektor UIAM, Professor Tan Sri Dr Dzulkifli Abdul Razak dan Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIW), Datuk Seri Syed Hussien Alhabshee.

Scotland adalah wanita pertama memegang jawatan itu sejak penubuhan Komanwel pada 1949, menggantikan Kamalesh Sharma dari India yang berkhidmat selama dua penggal.

-AO