MPKKP Penggerak Agenda Kemakmuran Bersama

Laporan/foto: Mohd Noor Mahmuddin Mohd Mahlil/Wan Seman Wan Bedollah (Jeli)

JELI, 12 Feb (Malaysiaaktif) – Pengerusi Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR), Datuk Sazmi Miah, menjelaskan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Persekutuan (MPKKP)merupakan pemimpin komuniti akar umbi yang mempunyai tanggungjawab besar dalam menerajui pembangunan komuniti di samping menjadi mata dan telinga kerajaan.

“MPKKP juga memainkan peranan penting dalam memastikan kemajuan, kesejahteraan dan keharmonian kampung sejajar dengan agenda pembangunan negara serta arus globalisasi, dan ahli MPKKP yang dilantik seharusnya menjalankan tanggungjawab dengan amanah, dedikasi, jujur tidak pilih kasih dan sentiasa mendampingi rakyat sejajar dengan penekanan konsep ‘Kemakmuran Bersama’ yang ditekankan oleh kerajaan.

Penerima-penerima Watikah Perlantikan MPKKP mendengar ucapan perasmian Penerima-penerima Watikah Perlantikan MPKKP mendengar ucapan perasmian



“Segala permasalahan yang dihadapi oleh komuniti kampung seharusnya diberi perhatian dan diambil jalan penyelesaian melalui saluran yang ditetapkan dan kewujudan biro-biro dalam MPKKP juga akan menjadi platform percambahan idea, pandangan dan menyemai semangat kerjasama di kalangan MPKKP dan masyarakat setempat,” katanya ketika menyempurnakan Majlis Penyampaian Watikah, Peringkat Parlimen Jeli, di sini pagi tadi.

Sazmi juga berkata agenda pembangunan sosial, ekonomi dan pengurusan kampung juga perlu diberi perhatian oleh MPKKP kerana ia menjadi tunjang kepada keharmonian, perpaduan dan kemakmuran komuniti setempat seterusnya akan menyumbang kepada Kemakmuran Bersama.

Dalam majlis tersebut, Sazmi turut menyampaikan watikah kepada seramai 80 orang Pengerusi dan Setiausaha MPKKP yang dilantik. Hadir sama Timbalan Pengerusi KESEDAR, Dr. Aminuddin Yacob dan Pengurus KESEDAR Wilayah Jeli/Tanah Merah, Mohd Faudzi Ab. Rahman.

-NAZ