Tiga Ribu Risalah Pelbagai Bahasa Diedar di Sibu

Laporan/foto: Mohd Baharruddin Mohamad (Sarawak)

SIBU, 13 Feb (Malaysiaaktif) – Tiga ribu keping risalah bermaklumat telah dicetak dalam lima bahasa atas inisiatif berterusan untuk menyebarkan maklumat serta dasar kerajaan dan terkini berkaitan wabak Covid-19 dan e-Tunai diedar kepada masyarakat setempat di sekitar sini.

Pengarah Jabatan Penerangan (JaPen) Negeri Sarawak, Swady Guliling, berkata cetakan tersebut dibuat sebagai inisiatif menyebarkan maklumat terkini kepada orang awam.

“Sekatat ini sebanyak tiga ribu keping risalah telah diedar berkenaan langkah pencegahan wabak Covid-19 kepada orang awam dan aktiviti ini akan dilakukan di semua bahagian dan daerah dalam negeri ini,” katanya ketika ditemui sempena program Info on Wheels (IoW) di Pasar Sentral, di sini kelmarin.

Menurut Swady, IoW bertujuan sebagai hebahan maklumat melalui unit bergerak JaPen di seluruh negara dan dijalankan secara serentak.

“Setakat ini sebanyak 33 Daerah termasuk Sibu telah melaksanakan program ini bermula 28 Januari lalu dengan memberi tumpuan kepada penyebaran maklumat berkaitan penularan Covid-19 di negara ini.

“Bagi masyarakat di luar bandar pendekatan secara bersemuka sebegini memudahkan mereka untuk memahami maklumat dengan lebih tepat, di samping pegawai lapangan menjelaskan tentang maklumat dan dasar kerajaan dengan lebih tepat,” katanya lagi.

Swady (lima dari kiri) bergambar kenangan bersama Oscar Ling (empat kiri), Irene Chang (dua kiri) dan Alice Lau (tiga kiri) sebelum program IoW dijalankan. Swady (lima dari kiri) bergambar kenangan bersama Oscar Ling (empat kiri), Irene Chang (dua kiri) dan Alice Lau (tiga kiri) sebelum program IoW dijalankan.



Sementara itu, seorang peniaga Asun Tang, 43, ketika ditemui menjelaskan aktiviti edaran dan berjumpa secara bersemuka seperti ini adalah baik terutamanya bagi penduduk pedalaman.

“Ini kerana masih banyak tempat tidak mendapat jaringan internet yang baik, di samping itu orang awam juga dapat bertanya tentang dasar-dasar kerajaan secara langsung dan pegawai lapangan juga dapat menjelaskan maklumat tersebut secara bersemuka, ujar peniaga dari Katibas ini.

Pendapat Asun disokong Junaidah Ali, 59, dari Bintangor yang menyokong usaha JaPen menyebarkan maklumat.

“Usaha ini cukup bagus bagi meningkatkan tahap kesedaran tentang risiko penyebaran wabak Covid-19 ini yang boleh berjangkit dari manusia ke manusia melalui udara serta sentuhan, dan langkah berjaga-jaga serta kebersihan kendiri sangat penting dalam menangani mana-mana wabak agar tidak terus merebak,” katanya.

Turut hadir sempena program tersebut, Ahli Parlimen Sibu Oscar Ling Chai Yew, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek Irene Chang, Ahli Parlimen Lanang Alice Lau dan wakil ADUN Pelawan David Wong Kee Woan.

-SH