Permohonan Geran Penyelidikan KPM Kini Dibuka

PUTRAJAYA, 13 Feb (Malaysiaaktif) - Permohonan Skim Geran Penyelidikan Fundamental (FRGS), Skim Geran Penyelidikan Pembangunan Prototaip (PRGS), Skim Geran Penyelidikan Transdisiplinari (TRGS) dan Skim Geran Penyelidikan Jangka Panjang (LRGS) di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah dibuka sejak 6 Januari lalu.

Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan kementerian tersebut semalam, permohonan ini terbuka kepada penyelidik di Malaysia yang layak di Universiti Awam, Universiti Swasta, Institut Penyelidikan mahupun Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM).

“Tahun 2020 merupakan kali pertama permohonan TRGS dan LRGS dibuka melibatkan dua kluster penyelidikan iaitu Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, serta Keselamatan Negara sebagai tambahan kepada kluster sedia ada iaitu Sekuriti dan Keselamatan Makanan, Infrastruktur Asas, Kesihatan, Pendidikan dan Masyarakat Madani Celik Ilmu, Kesejahteraan Sosial dan Ekonomi, dan Teknologi Terkehadapan dan Pembuatan Termaju.

“Inisiatif ini menjadi penggerak strategik untuk memberi tumpuan kepada ekosistem penyelidikan dalam merealisasikan agenda Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 dan setiap permohonan perlu dikemukakan secara dalam talian dan semua maklumat berkaitan boleh dicapai di pautan http://www.mygrants.gov.my/,” menurut kenyataan tersebut.

KPM telah diperuntukkan sebanyak RM250 juta bagi Dana Penyelidikan Fundamental (DPF) yang berfokuskan kepada penyelidikan asas yang menghasilkan teori, konsep dan idea baharu.

“KPM menyasarkan sebanyak 8,500 permohonan, peningkatan sebanyak 5% berbanding permohonan pada tahun 2019.

“Kementerian turut menyokong penyelidikan berkualiti yang menjana aktiviti pemindahan ilmu dari akademia secara strategik melalui kolaborasi dengan pihak industri/agensi antarabangsa, selaras dengan perancangan geran penyelidikan PRGS Fasa 2 yang dijangka dibuka pada bulan Jun 2020,” menurut kenyataan tersebut lagi.

-SH