Bantuan Terus Diperkasa untuk Rakyat Perak

Laporan/foto: Mohd Ridhuan Mohd Fadhil Samuel/Shahrul Azril Sulaiman (Kuala Kangsar)

SUNGAI SIPUT (U), 13 Feb (Malaysiaaktif) – Bantuan akan terus diperkasakan kepada semua rakyat di negeri ini bagi memastikan setiap rakyat menerima yang terbaik daripada kerajaan.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO Negeri Perak Hasnul Zulkarnain Abd Munaim, berkata pelbagai inisiatif kerajaan pusat dan kerajaan negeri secara amnya telah memberi pelbagai manfaat kepada rakyat terutamanya golongan yang berpendapatan rendah dan sederhana.

“Antara bantuan yang telah diperkenalkan oleh Kerajaan Persekutuan ialah bantuan MySalam iaitu satu skim perlindungan masyarakat dan rata-rata masyarakat di sini daripada golongan B40 atau M40 yang umurnya sehingga 65 tahun menerima baik program ini.

“Manfaat daripada bantuan ini termasuklah dari segi perubatan yang mana penerima bantuan ini akan mudah mendapat rawatan jika berlaku sebarang musibah dan hanya golongan berpendapatan kurang RM100,000 setahun akan menerima bantuan ini dengan penerima akan menerima elaun RM50.00 sehari sehingga maksimum 14 hari,” katanya ketika berucap sempena siri jelajah ketujuh, program Sembang Santai di Hentian Warisan Sungai Akar, Kg. Trosor, di sini semalam.

Hasnul dalam sesi penerangan kepada penduduk Kg. Trosor. Hasnul dalam sesi penerangan kepada penduduk Kg. Trosor.



Menurut Hasnul, melalui Skim Peduli Kesihatan (PeKa B40) masyarakat juga boleh membuat ujian saringan kesihatan (bukan penyakit berjangkit) di klinik-klinik panel terpilih, klinik desa atau hospital kerajaan sekitar sini.

“Rentetan dari program tersebut, kerajaan negeri turut memperkenalkan Kad Perihatin kepada rakyat Perak yang mana pada tahun lepas, seramai 17,000 orang yang mendaftar e-Kasih telah menerima manfaat ini.

“Penerima kad boleh menerima rawatan di klinik-klinik terpilih dengan nilai RM300 setahun untuk sekeluarga selain boleh menebus barangan keperluan harian di pasaraya terpilih berjumlah RM80.00 sebulan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Hasnul turut memaklumkan kerajaan negeri telah memperkenalkan Program Bantuan Umrah kepada asnaf bagi memunaikan umrah secara percuma dengan tanggungan sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri Perak.

“Pada tahun ini, seramai 1000 asnaf telah dipilih untuk mengerjakan umrah dan pihak kerajaan negeri telah memperuntukkan sebanyak RM5 juta untuk program ini,” tambahnya.

Turut hadir Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Perak Mohd Taip Ubah, Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia Cawangan Negeri Perak Zairulnahar Zakaria, Ketua Unit Komunikasi Strategik Negeri Perak Ismail Jamal, dan Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Lintang Hairul Amir Sabri.

-SH