COVID-19: Tiada Sebarang Kes Positif di Semua Kampus UIAM

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

GOMBAK, 13 Feb (Malaysiaaktif) – Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) memaklumkan tiada sebarang kes positif COVID-19 dilaporkan di semua kampus universiti tersebut iaitu di Gombak, Kuantan, Gambang, Pagoh dan Kuala Lumpur.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, pihak UIAM menjelaskan bahawa penundaan kelas selama 10 hari bermula 13 hingga 23 Februari untuk memberi keutamaan pendaftaran pelajar-pelajar dari negara China.

“Penundaan kelas adalah untuk memberi lebih ruang dan keutamaan serta pengawasan lebih terperinci kerana masih ada pelajar baharu dan semasa masuk mendaftar lewat yang datang dari negara China.

“Oleh kerana itu, untuk menjaga keselamatan warga kampus, cuti tersebut diberikan,” katanya.

Menurut kenyataan tersebut juga, Ketua Pegawai Perubatan Pusat Kesihatan dan Kesejahteraan UIAM (IHWC), Dr Siti Masitah Jamaludin, berkata ia merupakan proses saringan untuk pelajar-pelajar yang tiba dari negara tersebut.

“Ia merupakan proses saringan dan pengawasan (home surveillance) yang masih dijalankan untuk pelajar baharu dan pelajar semasa yang tiba dari negara China.

“Ia adalah mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya.

Kenyataan tersebut juga memaklumkan bahawa pihak pengurusan UIAM sentiasa memberi keutamaan keselamatan terhadap seluruh warga kampus dan sebarang penularan berita terhadap kes positi adalah tidak dan palsu.

Pihak UIAM mengeluarkan kenyataan penafian susulan tersebar satu berita palsu di media sosial semalam, yang mengatakan bahawa wabak COVID-19 telah tersebar di UIAM kampus Gombak dan pelajar diarahkan bercuti sehingga 23 Februari.

-NAZ