Berhati-hati Dengan Maklumat Yang Ada di Tangan

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Jeffrey Nian (Labuan)

LABUAN, 13 Feb (Malaysiaaktif) – Masyarakat diseru untuk berhati-hati dengan sebarang maklumat yang diterima agar tidak terlibat dengan penyebaran berita palsu.

Menurut Pengarah Jabatan Penerangan (JaPen) Labuan Supian Musa, semua pihak perlu menyemak sebarang maklumat yang diterima sebelum disebarkan.

“Kerajaan menyediakan portal sebenarnya.my bagi orang awam menyemak sebarang sebaran maklumat dan berita sekaligus mengekang penularan berita palsu seperti isu novel koronavirus 2019 (COVID-19) yang boleh memberi kesan kepada masyarakat dan negara.

“Penyebar berita palsu boleh diambil tindakan mengikut Seksyen 505 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Supian (kiri) menyampaikan sijil penyertaan kepada peserta program. Supian (kiri) menyampaikan sijil penyertaan kepada peserta program.



“Pendakwaan turut boleh dibuat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan,” katanya semasa berucap pada Program Kembara Minda : Memperkasa Wanita anjuran JaPen Labuan, semalam.

Menurut Supian, orang awam juga perlu berhati-hati dengan jenayah penipuan siber yang semakin membimbangkan.

“Sebanyak 11,875 kes penipuan siber dicatat pada 2019 berbanding 10,753 kes pada 2018, bermakna penipuan kes sebegini semakin meningkat yang melibatkan antaranya penipuan telekomunikasi, kes berkaitan pembelian dalam talian dan sindiket perangkap cinta yang didalangi warga Afrika,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Supian menjelaskan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Jabatan Perangkaan Malaysia dan Unit Farmasi, Jabatan Kesihatan Labuan turut membuka gerai pameran bagi menyalurkan pelbagai informasi kepada para peserta.

“Sepanjang program berlangsung, para peserta diberi informasi mengenai inisiatif i-Suri, mengenali ubat-ubatan dan peranan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) daripada penceramah-penceramah jemputan,” tambahnya.

-SH