104 Ribu Jawatan Baharu Diwujudkan daripada 8.7 Juta Jawatan dalam Sektor Swasta

Laporan/foto: Syed Hisham Shah (Putrajaya)

PUTRAJAYA, 13 Feb (Malaysiaaktif) - Sejumlah 104 ribu pewujudan jawatan baharu daripada 8.7 juta jawatan dalam sektor swasta pada tahun 2019, lapor Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini.

Menurut Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin, daripada keseluruhan jawatan yang diwujudkan tahun lalu, kategori mahir meliputi 43 peratus manakala kategori separuh mahir mewakili 49.2 peratus.

“Pecahan mengikut sektor pula menunjukkan sebanyak 49.2 peratus pewujudan jawatan adalah dalam sektor perkhidmatan diikuti oleh pembinaan (21.4%) dan 18.4 peratus lagi pembuatan.

“Bilangan jawatan di sektor swasta meningkat daripada 119 ribu kepada 8.7 juta jawatan (ST4 2018: 8.5 juta) dengan kadar jawatan diisi adalah sebanyak 97.7 peratus manakala kadar kekosongan 2.3 peratus, dengan bilangan kekosongan direkodkan sebanyak 198 ribu,” katanya menerusi satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.

Jadual pewujudan jawatan mengikut kemahiran 2019. Jadual pewujudan jawatan mengikut kemahiran 2019.



Mohd Uzir berkata, kesemua kategori mencatatkan peningkatan dengan bilangan jawatan dalam kategori mahir naik sebanyak 19 ribu mencatatkan 2.1 juta jawatan yang meliputi sumbangan 24.3 peratus.

“Jawatan diisi terdiri daripada 97.7 peratus manakala kadar kekosongan jawatan adalah 2.3 peratus dengan bilangan 48 ribu. Sementara itu, jawatan di kategori separuh mahir meningkat 96 ribu kepada 5.4 juta jawatan, mewakili 62.4 peratus daripada keseluruhan jawatan.

“Bagi kategori berkemahiran rendah, jawatan naik 5 ribu untuk merekodkan 1.2 juta jawatan, dengan sumbangan 13.3 peratus, dengan kadar jawatan diisi ialah 96.4 peratus, manakala kadar kekosongan 3.6 peratus,” katanya lagi.

Sebanyak 51.6 peratus daripada jawatan tertumpu dalam sektor Perkhidmatan, diikuti sektor pembuatan (26.4%) dan pembinaan (15.4%) manakala selebihnya dalam sektor Pertanian (5.6%) dan Perlombongan & Pengkuarian (1.0%).

-SH