Labuan FM Harap Jadi Pilihan Nombor Satu

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Jeffrey Nian (Labuan)

LABUAN, 14 Feb (Malaysiaaktif) – Labuan FM berharap masyarakat Labuan dapat menerima serta menjadikan stesen radio itu sebagai pilihan utama mereka.

Menurut Timbalan Pengarah Jabatan Penyiaran Labuan, Fauziah Mohd Sidek, Labuan FM memainkan peranan dalam menyalurkan informasi dan hiburan kepada komuniti Labuan.

“Apa yang kita buat adalah untuk komuniti Labuan, segala saranan dan hasrat kerajaan disamping memberi hiburan yang disalurkan melalui Labuan FM.

“Kita juga sedang giat mempromosi platform RTM Mobile, MyKlik RTM dan Facebook live bagi memudahkan para masyarakat mendengar Labuan FM di mana sahaja mereka berada,” katanya yang ditemui pada Program Sambutan Hari  Radio Sedunia di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rancha-Rancha, di sini semalam.

Fauziah ( dua dari kiri) dan Yahya (dua dari kanan) selepas majlis menandatangani persefahaman jalinan kerjasama, di sini. Fauziah ( dua dari kiri) dan Yahya (dua dari kanan) selepas majlis menandatangani persefahaman jalinan kerjasama, di sini.



Bersempena program itu, Fauziah menjelaskan Labuan FM mengambil inisiatif mendekati para pelajar sekolah selari dengan tema sambutan Hari Radio Sedunia iaitu ‘Radio dan Kepelbagaian’.

“Kita memilih sekolah ini kerana SMK Rancha-Rancha mempunyai stesen radio Ranchas' FM dan kita ingin kenal pasti apa sahaja keperluan mereka dari segi teknikal atau aspek siaran.

“Kita juga ingin melihat pencapaian mereka kerana sebelum ini Ranchas' FM mempelajari segala keperluan menjalankan stesen radio daripada pihak kami," katanya lagi.

Sementara itu, Pengetua SMK Rancha-Rancha, Yahya Ahmad Puteh, berkata sempena Hari Radio Sedunia, Ranchas' FM tidak mahu ketinggalan dalam memainkan peranan menyebarkan maklumat yang baik dan sahih kepada komuniti setempat.

"Stesen radio ini ditubuhkan pada 8 Ogos 2018 dan berperanan menyebarkan maklumat kepada komuniti kampung yang berada di sekitar sekolah ini.

"Kita berkongsi segala informasi mengenai aktiviti yang berlaku di sekolah dan perkembangan yang berlaku di seluruh negara kepada komuniti setempat yang kebanyakan anak mereka bersekolah di sini," katanya.

-SH