Jom Daftar 2020 SSM Sasar Malaysia Book of Records

Laporan/foto: Mohd Nazri Saparudin (Kinta)

IPOH, 14 Feb (Malaysiaaktif) - Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dalam usaha untuk mencatat rekod dalam Malaysia Book of Records (MBOR) bagi kategori Pendaftaran Perniagaan Terbanyak dalam Masa Satu Hari di seluruh Malaysia.

Pengarah SSM Perak Mohd Ariff Hamzah, berkata program yang akan diadakan pada 20 Februari ini merupakan sebuah program yang akan mencatatkan sejarah dalam MBOR apabila diadakan pendaftaran perniagaan terbanyak dalam masa sehari yang diadakan serentak di seluruh negara.

“Saya berharap program ini mendapat sambutan daripada orang ramai yang bercadang untuk membuat pendaftaran perniagaan selain peserta berdaftar akan menerima sijil penyertaan daripada SSM dan MBOR,” katanya di Pejabat SSM Perak, di sini semalam.

Sementara itu, Ketua Seksyen Operasi SSM Perak N Vijayasegaran Nadesan, berkata hari tersebut merupakan hari bertemu pelanggan sebagai platform kepada masyarakat menyalurkan aduan dan mendapatkan info terkini mengenai perkhidmatan yang ditawarkan suruhanjaya tersebut.

“Antara acara yang akan diadakan adalah seperti cabutan nombor bertuah yang mana pelbagai barangan elektrik dan hamper akan dilakukan pada hari tersebut, selain pengurangan kompaun sehingga 90% yang ditawarkan,” katanya.

Poster Kempen Jom Daftar 2020 SSM. Poster Kempen Jom Daftar 2020 SSM.



Program ini turut mendapat kerjasama Jabatan Penerangan (JaPen) Perak yang bertindak sebagai agen promosi yang akan turut serta dalam program tersebut.

Pengarah JaPen Perak, Taip Ubah berkata pihak JaPen dan Jabatan Penyiaran Malaysia akan sama-sama membantu untuk menghebahkan program ini kepada orang ramai.

“Kami akan membantu membuat hebahan berkaitan program dan pada masa sama akan meneruskan program Info on Wheels (IOW) berkaitan wabak Covid-19 dan pelbagai kempen kerajaan.

“Selain membuat hebahan secara bersemuka melalui program IOW, kita juga akan menyebarkan maklumat ini menerusi platform media sosial jabatan,” katanya.

-SH