TPM Dijangka Hadir Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina MOTAC di P. Pinang



Foto : Gambar Fail

PUTRAJAYA, 14 Feb (Malaysiaaktif)  - Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dengan kerjasama kerajaan Pulau Pinang akan menganjurkan Majlis Rumah Terbuka Malaysia (MRTM) Tahun Baharu Cina 2020, Sabtu ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Unit Komunikasi Korporat MOTAC, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dijangka hadir merasmikan majlis itu pada pukul 8.30 malam di Padang Kota Lama, Pulau Pinang.

Majlis itu juga dijangka akan dihadiri beberapa menteri kabinet dan barisan kepimpinan kerajaan negeri Pulau Pinang.

"Program ini merupakan sebahagian daripada inisiatif kerajaan untuk menyemarakkan industri pelancongan negara serta mempamerkan kepelbagaian budaya yang sebati dalam warisan hidup dan warisan binaan di Pulau Pinang, negeri di mana terletaknya Bandar Bersejarah Georgetown Tapak Warisan Dunia UNESCO yang telah diiktiraf pada 7 Julai 2008," menurut kenyataan itu.

Majlis yang dijangka bermula pada 10.30 pagi itu akan turut diserikan dengan pelbagai program sisipan seperti pesta makanan tempatan ala ‘food truck’, demonstrasi masakan dan penyediaan makanan tradisional masyarakat Cina, bengkel interaktif kesenian Cina serta persembahan khas bagi mengetengahkan tradisi dan budaya sambutan Tahun Baharu Cina di Malaysia kepada pengunjung dan pelancong luar.

"Orang ramai yang bercadang untuk ke majlis itu disaran menggunakan pengangkutan awam khususnya perkhidmatan KTM Komuter Utara dan Rapid Penang,” menurut kenyataan itu.

Mereka yang mempunyai sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut berhubung rumah terbuka itu boleh menghubungi Haris Zakaria di talian 03-8891 7542 atau mengikuti 'acara MRTM Tahun Baharu Cina 2020' di Facebook rasmi MOTAC.

- BERNAMA