Sarawak Rekod Tujuh Kes Tambahan Positif COVID-19

Laporan/foto: Mohd Baharruddin Mohamad (Sarawak)

KUCHING, 21 Mac (Malaysiaaktif) – Sarawak merekodkan tujuh lagi kes baharu positif COVID-19 semalam menjadikan jumlah bilangan kes adalah sebanyak 58 kes sejak kes positif pertama dilaporkan pada 13 Mac lalu.

Timbalan Ketua Menteri, merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, berkata kesemua kes baharu ini dirawat di Hospital Umum Sarawak.

"Makmal Hospital Umum Sarawak bertungkus lumus bagi menyelesaikan kesemua ujian makmal yang tertunggak sebelum ini.

"Daripada 714 jumlah keseluruhan Person Under Investigation (PUI), 58 kes adalah positi dan kesemua mereka dari Kuching" katanya semasa sidang media, di sini semalam.

Dalam pada itu, Douglas turut mengumumkan pihak Sarawak Multimedia Authority akan membantu jawatankuasa ini mengesan sesiapa yang telah dikenalpasti untuk menjalani kuarantin di rumah dan pemetaan digital untuk mengenalpasti titik panas jangkitan COVID-19.

"Ini bagi mengelakkan wabak COVID-19 ini daripada terus merebak, dan saya juga berharap agar rakyat dapat mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan demi membendung penularan kes COVID-19 yang semakin menjadi-jadi," tambahnya.

-SH