Kesemua Laluan Sempadan Negara Dihadkan Operasi - Abang Johari

Laporan/foto: Mohd Baharruddin Mohamad/Mahmud Sulaiman (Sarawak)

KUCHING, 21 Mac (Malaysiaaktif) – Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, mengarahkan semua laluan sempadan negara dihadkan operasi.

Menurut Abang Johari, hanya Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) antara Sarawak dan Brunei iaitu Sungai Tujuh, Tedungan, Pandaruan dan Mengkalap akan dibuka dari pukul 6.00 hingga 8.00 pagi.

"Antara lain semua CIQ antara Sarawak dan Kalimantan iaitu Tebedu, Biawak dan Lubok Antu akan dibuka antara 9.00 hingga 3.00 pagi selaras dengan waktu pembukaan yang dipersetujui oleh Brunei dan Indonesia," katanya semasa sidang media, di sini.

Abang Johari turut menegaskan penglibatan pihak tentera dalam penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (MCO) di pos sempadan dan kawasan luar bandar.

“Saya merayu kepada orang ramai untuk mematuhi sepenuhnya MCO, di mana kerjasama awam adalah penting untuk membendung jangkitan dan orang ramai hanya perlu mengikut nasihat daripada pihak berkuasa," katanya lagi.

Dalam pada itu, Abang Johari turut menyeru orang ramai agar tidak menyebarkan berita-berita palsu yang boleh menjejaskan tindakan dan usaha kerajaan menangani masalah ini.

-SH